Categories: Eat TravelFeatured

Resipi ayam 3 budak gemuk mudah dimasak, enak dimakan

Sepanjang Ramadan, ramai yang mengidam untuk menikmati pelbagai  masakan kampung kerana bulan yang mulia ini sering kali mengingatkan kita  kepada kampung halaman.

Masakan asam pedas, lemak cili api, sambal goreng berlada, sayur goreng Jawa, ayam kurma dan ayam masak tomato antara yang pastinya berada dalam senarai hajat anda.

Bagi wanita bekerjaya yang tidak mempunyai banyak masa untuk menyediakan hidangan berbuka puasa, mungkin boleh mencuba resipi ayam tiga budak gemuk seperti yang dikongsi dalam akaun Instagram @resepimasakankampung.

Bukan sahaja resipinya mudah, tetapi juga menjanjikan keenakan rasa yang pasti membuatkan anda bertambah beberapa kali.

Resipi ini popular di selatan Semenanjung, tetapi di beberapa negeri lain seperti di Sabah dan Sarawak ada juga menyediakan hidangan ini yang mungkin sedikit berbeza.

Jika tidak mahu terlalu pedas, boleh campur setangkai dua cili padi, namun bagi penggemar masakan pedas, campur lebih daripada empat tangkai juga tidak mengapa. Cubalah!

Resipi ayam 3 budak gemuk

 

Bahan-bahan ayam:

 ½ kg ayam, dipotong kecil

Sedikit garam

Serbuk kunyit

Bahan-bahan untuk dikisar:

2 labu bawang besar

3 biji bawang putih

4 tangkai cili padi

½ inci halia

Bahan-bahan untuk sos:

3 sudu besar sos tiram

10 sudu kicap (bergantung pada cita rasa masing-masing)

2 tangkai daun kari

Cara penyediaan:

  1. Bersihkan ayam yang sudah dipotong kecil dan gaulkan dengan serbuk kunyit dan garam.
  2. Goreng ayam sehingga hampir garing. Ketepikan.
  3. Kisar bawang besar, bawang putih, cili padi dan halia.
  4. Tumis bahan kisar tadi dan masukkan daun kari.
  5. Masukkan sos tiram kicap. Tidak perlu campur air kerana resipi ini tidak berkuah.
  6. Akhir sekali masukkan ayam yang sudah digoreng tadi. Gaul hingga sebati.

KREDIT: Intagram @resepimasakankampung

Fadzlena Jafar