Categories: FeaturedGaya Hidup

Rezeki daripada kayu terbuang, beri pulangan lima angka

Lapan tahun lalu, Nor Hazilawati Buang sekadar bereksperimen dengan kayu terbuang di sekitar rumahnya untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dimanfaatkan. Hanya bersandarkan sifat ingin mencuba, beliau berjaya menghasilkan perabot seperti meja makan dan kerusi.

Hasil eksperimen pertama itu ternyata menarik perhatian beberapa rakannya apabila ada yang sanggup membeli meja yang diusahakan wanita muda itu. Jualan pertama itu menaikkan semangat Nor Hazilawati untuk terus bereksperimen, lebih-lebih lagi satu demi satu perabot atau hiasan daripada kayu terbuang yang dihasilkannya mendapat sambutan masyarakat.

Sejak itu, beliau mula mengumpul kayu terbuang untuk dijadikan pelbagai produk khususnya perabot. Selain meja dan kerusi makan, Nor Hazilawati turut menghasilkan hiasan untuk meja dan kerusi laman yang cukup diminati masyarakat.

Anak jati kelahiran Johor itu akui, tidak pernah menyangka inisiatif yang bermula daripada sekadar ingin mencuba itu kini menjadi sumber pendapatan utamanya.

“Saya tidak pernah belajar daripada mana-mana tukang kayu atau mengikuti kursus khas. Semuanya bermula daripada melihat suami yang gemar bertukang pada masa lapangnya.

“Ketika itu, saya sekadar ingin melihat sejauh mana keupayaan saya dan sedikit pun tidak menyangka saya ada bakat bertukang, lebih-lebih lagi apabila hasil usaha saya itu dibeli seorang rakan,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Setahun selepas menghasilkan produk pertama, Nor Hazilawati mula serius dengan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan itu, lebih-lebih lagi apabila mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat setempat khususnya yang meminati perabot kayu.

Nor Hazilawati bergambar di depan pondok yang dihasilkan syarikatnya sambil menunjukkan sijil dan trofi Anugerah Usahawan Muda Hari Kraf Kebangsaan 2020. (Gambar NSTP/JIM)

Bagaimanapun, Nor Hazilawati berkata, ketika itu beliau dan suami mula memberi tumpuan pada kualiti produk yang dihasilkan supaya setiap produk yang dihasilkan berbaloi dengan harga yang ditawarkan.

“Pada 2013, saya mula serius dengan bidang ini. Saya dan suami belajar dengan melihat hasil pertukangan perabot lain, malah kami juga mengambil inisiatif dengan belajar mengenai seni pertukangan daripada YouTube.

“Atas saranan beberapa pihak, saya menghubungi Kraftangan Malaysia dan menerusi agensi itu saya mula mempelajari cara atau teknik yang betul bagi menghasilkan produk daripada kayu,” katanya

Sejak itu, Nor Hazilawati tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau dan suami sepakat untuk meneruskan perniagaan itu termasuk menubuhkan syarikat Kayu Warisan Enterprise (Kayu Warisan) yang memasarkan pelbagai produk daripada kayu.

Pada masa sama, beliau mula menggunakan kayu yang lebih bersesuaian seperti cengal dan merbau untuk menghasilkan perabot kayu yang lebih berkualiti.

Kejayaan menjual meja makan enam kerusi pada harga RM10,000 antara kenangan manis Nor Hazilawati yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Muda 2020 bersempena dengan sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2020, Februari lalu.

Nor Hazilawati menerima Anugerah Usahawan Muda daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat, pada pelancaran Hari Kraf Kebangsaan 2020. (Gambar NSTP/JIM)

Kini, pelanggan produk Kayu Warisan bukan sekadar dari sekitar Labis, tetapi juga dari seluruh negara. Syarikat berkenaan juga pernah menerima tempahan daripada pelanggan di luar negara yang berminat dengan hasil tangan Kayu Warisan.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, Nor Hazilawati mengupah beberapa kakitangan yang terdiri daripada pemuda kampungnya, malah beliau dan suami sudah melatih ramai pelajar yang berminat untuk mendalami seni pertukangan kayu.

Beliau yang kini banyak terbabit dalam siri jelajah Kraftangan Malaysia ke seluruh negara, berharap lebih ramai golongan muda menceburi bidang keusahawanan kraf yang mampu memberi pendapatan lumayan. 

“Saya ingin melihat lebih ramai anak muda mengikut jejak langkah saya, jika tidak dalam bidang pertukangan kayu, mungkin bidang kraf yang lain. Jangan mudah berputus asa sehingga terbabit dalam aktiviti tidak bermanfaat.

“Saya sendiri bukan berpendidikan tinggi, setakat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Tetapi saya mengambil kursus profesional apabila mula serius dalam bidang pertukangan kayu ini. Rezeki itu akan datang jika kita berusaha,” katanya.

Fadzlena Jafar