Categories: FeaturedGaya Hidup

Tapak pengebumian RM300,000, San Diego Hills hanya untuk golongan ‘have-have’!

Majlis pengebumian pelakon dan pengacara, Ashraf Sinclair yang diadakan selepas solat Asar, Selasa lalu berlangsung dalam suasana hiba,  namun berjalan lancar.

Berita pemergian Ashraf secara mengejut akibat serangan jantung, mendapat liputan meluas pemberita di Indonesia juga Malaysia, memandangkan bintang Gol & Gincu itu cukup terkenal dengan gaya hidup sihat, selain kematiannya pada usia sangat muda iaitu 4o tahun.

Allahyarham dikebumikan di San Diego Hills Memorial Park and Funeral, Karawang, Jawa Barat, malah isteri Ashraf, Bunga Citra Lestari atau BCL yang juga penghibur tersohor di Indonesia, sudah pun menempah liang lahad berharga RM75,000 (Rp. 246,750,000) untuk dirinya di sebelah kubur suaminya kerana mahu berada di sisi suami tercinta.

Berita berkenaan hangat diperkatakan media di Indonesia bukan sahaja kerana tindakan BCL dianggap bukti cinta agung beliau terhadap suaminya, tetapi juga harga tempahan liang lahad yang mahal sehingga menarik minat masyarakat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tanah perkuburan itu.

Nama San Diego Hills Memorial Park and Funeral itu sendiri tidak menunjukkan ciri-ciri tanah perkuburan Islam, malah harga untuk satu liang lahad yang cukup mahal itu menunjukkan bukan calang-calang orang yang disemadikan di situ.

Hal ini membuatkan Hijab & Heels tertarik untuk membongkar keistimewaan San Diego Hills Memorial Park and Funeral, selain bagaimana pelaksanaan pengebumian orang Islam dilakukan.

Bolehkah jenazah orang Muslim disemadikan di San Diego Hills Memorial Park and Funeral?

Antara yang dipersoalkan warganet adalah berhubung lokasi majlis pengebumian yang tidak menyatakan status tanah perkuburan Islam, penggunaan gambar Allahyarham dan bunga menggantikan ruangan batu nisan selain batu nisan yang diletak dalam keadaan berbaring di atas tanah.

San Diego Hills Memorial Park and Funeral ialah sebuah lokasi yang menyediakan tempat persemadian untuk masyarakat majmuk di Indonesia dan terbahagi kepada tiga iaitu Universal Garden, Garden of Prosperity and Joy dan Five Pillars Garden.

Universal Garden diperuntukkan bagi penganut agama Kristian, manakala Garden of Prosperity and Joy pula ialah lokasi pengebumian masyarakat Tionghoa yang dilengkapi tempat ibadat atau sembahyang.

 Five Pillars Garden pula dikhususkan bagi masyarakat Islam yang merupakan populasi terbesar di Indonesia dengan menyediakan pelbagai pakej pengebumian merangkumi lima bahagian mengikut lima rukun Islam.

Pengelola San Diego Hills terlebih dahulu berbincang dengan pihak jabatan agama Islam di sana, dalam menentukan arah kiblat dan tatacara mengikut syariat Islam.

Mengapa harga perkuburan San Diego Hills Memorial Park and Funeral mahal?

San Diego Hills Memorial Park and Funeral bukanlah tempat persemadian sembarangan, hanya golongan A-List sahaja yang mampu dikebumikan di situ.

Tidak seperti tempat persemadian yang lain, San Diego Hills tidak dipadatkan dengan kubur semata-mata, malah di kawasannya juga dipenuhi dengan rumput hijau, taman yang indah selain ada juga air pancut yang dilengkapi patung-patung bernilai seni tinggi.

Dimiliki oleh PT Lippo Karawaci Tbk yang merupakan perusahaan tersohor dan kaya di Indonesia, tapak persemadian itu mempunyai keluasan 500 hektar dan dilengkapi pelbagai kemudahan lain.

Harga yang ditetapkan mengikut tapak yang dipilih. Mahu yang luas atau yang biasa, di atas bukit mahupun di tanah landai, ruangan peribadi atau terbuka, semuanya ada harga tersendiri.

Harga bermula dari Rp 40 juta atau RM12,158.00 sehinggalah Rp 1 Milliar bersamaan dengan RM303,950.00.

Tapak persemadian itu turut menyediakan kolam renang dan juga meja tenis. Tambah unik, tapak persemadian itu juga menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti tasik seluas 8 hektar, restoran bertaraf lima bintang, kolam renang, meja tenis, kedai bunga dan juga trek untuk berjoging.

Foto: Says

Apa yang lebih mengejutkan, di San Diego Hills juga, turut menyediakan tempat untuk melangsungkan majlis perkahwinan dengan kapasiti 250 orang.

San Diego Hills sememangnya menjadi lokasi pilihan bagi golongan kenamaan, bangsawan, hartawan termasuk selebriti terkenal untuk dikebumikan.

Yanie Baharom