Euforia Bola 2026
Featured By: Yanie Baharom November 14, 2019 @ 10:19am

Figura November : “Selamat tinggal dunia malap” – Fathia

Namanya pantas meledak seawal kemunculan. Cantik dan berbakat, menjadi tiket mudah kepada pemilik nama Nur Fathia Abdul Latiff, untuk mencipta pengaruhnya.

Malah suatu ketika dahulu, wajahnya sentiasa menghiasi drama-drama trending di serata stesen TV Tempatan.

Namun begitu populariti yang dikecapi merudum sekelip mata, dipalit pula dengan pelbagai kontroversi datang silih berganti.

Ujian dilalui wanita berusia 32 tahun ini cukup hebat, bukan semua orang mampu mengharunginya. Hilang tawaran berlakon dan punca pendapatan utama, menjadi mangsa aib teman-teman, bahkan kecaman hebat daripada jutaan netizen yang menjadi hakim dalam setiap tindak-tanduknya.

Meskipun melalui dua tahun kebelakangan ini yang cukup menguji, bintang yang pernah popular menerusi drama Nur Kasih, Ariana Rose dan Isteri Luar Biasa ini, belum mahu berundur.

Sebaliknya Fathia berazam untuk melupakan episod malap, sekali gus berusaha untuk kembali ke pangkuan industri seni yang cukup dirinduinya.

Selami hati bekas graduan jurusan perundangan ini, menerusi coretan ekslusif NORHADIANI BAHAROM.

Foto: Nizarhafiz Mustafa

Hijab & Heels (H&H): Apa khabar Fathia. Agak lama anda menyepikan diri, kongsikan perkembangan terbaharu anda?

Fathia: InsyaAllah saya akan keluarkan single tidak lama lagi berjudul Jika Aku Tahu. Semua ini berlaku tanpa dirancang. Sepanjang menyepi, saya banyak menghabiskan masa di rumah dan daripada situ saya cuba mempelajari bermain gitar.

Kalau ikutkan minat menyanyi ini sudah ada sejak kecil lagi, namun hanya dua tahun kebelakangan ini baru betul-betul serius. Kebetulan, seorang rakan media yang saya anggap seperti abang mahu saya mencuba bidang nyanyian kerana tidak mahu saya mensia-siakan bakat. Jadi saya beranikan diri untuk mencuba.

H&H: Adakah lagu ini berkaitan dengan perjalanan hidup anda yang penuh kontroversi 2 tahun kebelakangan ini?

Fathia: Lagu ini mengenai kisah datuk saya yang sudah meninggal dunia. Lagu ini adalah hasil nukilan saya sepenuhnya dibantu seorang rakan pemuzik.

Ramai yang tidak tahu saya rapat dengan datuk saya. Masa tinggal di asrama dahulu, datuklah yang selalu tengok-tengokkan saya dan boleh dikatakan setiap hujung minggu saya habiskan masa di rumah datuk.

Justeru kehilangan beliau meninggalkan impak yang cukup besar di dalam hidup saya. Malah saya sentiasa merinduinya.

Foto: Nizarhafiz Mustafa

H&H: Berjinak-jinak di dalam bidang penciptaan lagu, pernah anda terfikir untuk menulis lagu bagi penyanyi lain?

Fathia: Kalau dapat peluang sudah tentu saya mahu. Ikutkan sebenarnya, saya mempunyai sebuah lagu yang ditulis untuk Ratu Rock Negara, Ella.  Tetapi saya belum sempat berbual dengannya kerana ingin memberi tumpuan kepada kemunculan single terbaharu saya, Jika Aku Tahu.

Untuk single terbaharu ini juga, saya banyak melakukan persediaan bermain instrumen iaitu piano kerana saya lihat di Malaysia sangat kurang penyanyi berstatus pemuzik atau singer-songwriter terutamanya wanita.

Dua tahun berehat daripada dunia lakonan, saya memperoleh ilmu baharu sekali gus memanfaatkan waktu yang ada dengan belajar muzik.

H&H: Tidakkah anda merindui bidang lakonan?

Fathia: Sudah tentu rindu tetapi tiada rezeki lagi buat masa ini.

Foto: Nizarhafiz Mustafa

H&H: Pelbagai kontroversi melanda diri anda sepanjang dua tahun ini, bagaimana anda mengumpul semangat serta kekuatan untuk kembali mewarnai industri seni? Anda yakin akan kembali diterima?

Fathia: Bagaimana saya mengumpul kekuatan, sesudah saya mendapatkan kembali diri saya yang ‘hilang.’ Apapun yang pernah berlaku dalam kehidupan saya sebelum ini, saya sedar satu perkara kecintaan saya terhadap lakonan tidak pernah pudar.

Saya ingin perbetulkan keadaan itu kerana saya menghargai bakat yang dikurniakan Allah SWT. Sokongan keluarga juga mendorong saya untuk mendapatkan semangat itu semula.

Soal penerimaan orang tiada apa yang boleh saya lakukan. Orang boleh kecam dan cakap apa sahaja yang mereka mahu tetapi mereka tidak boleh merampas bakat yang ada pada saya.

Foto: Nizarhafiz Mustafa

H&H: Anda dilihat semakin aktif membuat kemunculan di khalayak umum, bagaimana menangkis pandangan skeptikal orang ramai?

Fathia: Saya tidak begitu peduli pandangan orang. Apa yang saya buat, mereka juga manusia, mereka juga pasti ada berbuat salah. Siapa mereka untuk menghina saya, mereka bukannya Tuhan!

Cakap orang tua kita pun kadang kala kita tidak dengar, apatah lagi orang lain. Dalam situasi saya, jika ada yang bercakap buruk tentang saya boleh sahaja kalau saya bidas mereka semula tetapi saya memilih untuk tidak melakukannya.

Saya tahu diri saya macam mana, saya bukan orang jahat. Saya takkan jatuhkan diri saya sehina orang yang menghina diri saya. Saya hanya fokus untuk memperbaiki diri dan memandang ke hadapan daripada terkesan dengan kata-kata orang yang cuba menjatuhkan saya.

H&H: Dalam tempoh dua tahun ini, apa yang anda belajar?

Fathia: Belajar mengenal diri sendiri, manusia, Tuhan dan kehidupan. Selain banyak mentelaah buku-buku yang boleh memotivasikan diri, saya mendekatkan diri dengan al-Quran. Tidak dinafikan sokongan ibu bapa dan adik-beradik juga antara insan yang bertanggungjawab mengembalikan semula semangat saya.

Foto: Nizarhafiz Mustafa

H&H: Ramai yang ingin tahu, tidak kurang ambil berat mengapa satu ketika anda seolah ‘kehilangan’ diri anda?

Fathia: Sebagai manusia biasa, saya tidak terkecuali berhadapan masalah. Sebagai pelakon, hidup saya bukan hanya untuk bekerja 24 jam, ada masanya saya juga dilanda kesulitan, masalah peribadi dan memerlukan proses pemulihan.

Rasanya tidak perlulah saya berkongsi semua masalah dengan umum. Yang pasti dalam menjalani kehidupan, kita perlukan masa untuk berehat dan selesaikan beberapa perkara yang perlu.

Dua tahun kebelakangan ini, Tuhan menguji kekuatan saya dan saya bersyukur kerana dapat mengembalikan semula semangat diri.

H&H: Benarkah ura-ura mengatakan anda di banned pihak stesen TV dan disebabkan itu ramai penerbit enggan mengambil anda berlakon untuk drama dan filem mereka?

Fathia: Saya tidak pasti sejauh mana hal yang diperkatakan ini. Mungkin ramai menyangkakan saya masih berehat daripada bidang lakonan. Tak mengapa, InsyaAllah mungkin satu hari ada rezeki untuk saya kembali.

Foto: Nizarhafiz Mustafa

H&H: Reaksi anda berhubung tindakan seorang Instafamous (Zarina Anjoulie) yang juga bekas kawan baik anda, yang telah membuat pelbagai pendedahan negatif mengenai anda di media sosial, apakah tindakan selanjutnya bakal dibuat?

Fathia: Bercakap mengenai individu berkenaan, saya rasa dia tak patut bercakap benda-benda macam itu kepada saya kerana apa yang diperkatakan itu adalah hal yang tidak baik, memburuk-burukkan dan menghina-hina orang.

Saya tidak pernah menghina orang termasuklah dia, waima tidak pernah mencemuh dia jadi saya tidak suka dengan caranya melayani saya. Saya harap dia segera berhenti menyebut nama saya lagi kerana setiap orang ada tahap kesabarannya!

H&H: Sukar atau tidak mencari sahabat baik dalam kalangan orang dalam industri?

Fathia: Saya sejak di universiti lagi, memang seorang yang lone ranger. Tetapi saya sedar, ramai kawan-kawan menggunakan saya untuk populariti mereka. Mereka tidak pernah tahu betapa susahnya pekerjaan saya sebagai pelakon dan bagaimana saya berusaha untuk membina nama.

Mungkin status saya sebagai artis buat ramai yang cuba dekat. Mereka terlupa lakonan adalah pekerjaan saya malah saya tidak pernah suka orang menggelarkan saya artis.

Terus-terang memang saya berasa sedih kerana saya ikhlas. Kebanyakan orang yang mendekati saya tidak ikhlas bersahabat dengan saya.

Foto: Nizarhafiz Mustafa

H&H: Memutuskan untuk tidak berhijab, adakah anda selesa dengan penampilan sekarang?

Fathia: Berhijab atau tidak berhijab, itu adalah hak masing-masing. Orang di luar sana tiada hak bercakap sebab itu adalah pilihan saya. Mereka juga tiada hak untuk salahkan saya, apabila saya memilih untuk menjadi diri sendiri.

Mereka hanya boleh menasihatkan saya tetapi tidak boleh menghina dan memaksa saya pakai tudung atau tidak.

H&H: Bertebaran berita tentang kematian bintang KPop yang membunuh diri gara-gara tekanan, pernahkah atau tidak anda ‘mengalami’ perasaan ini?

Fathia: Alhamdulillah, sebagai seorang Islam saya masih ada agama untuk mempercayai qada dan qadar Tuhan, bahawasanya ujian diberikan kepada orang-orang yang boleh melaluinya dan kerana Dia masih menyayangi kita.

Apabila kita mempercayai Allah SWT, walaupun dengan sedikit iman cukup untuk menyelamatkan kita daripada melakukan perkara yang memesongkan akidah.

Namun begitu, saya tidak nafikan pernah berasa putus asa dalam hidup, namun saya bersyukur kerana mendapat sokongan moral daripada keluarga selain agama. Tanpa dua perkara ini, pasti dah lama tiada!

Foto: Nizarhafiz Mustafa

Penaja

Busana: SYOMIR IZWA GUPTA

Instagram: @syomirizwagupta

Aksesori rambut: BREMEN WONG MILLINERY

Instagram: @bremenwong

Solekan: DEQ SHA

Instagram: @makeupbydeqsha

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Wed, 17 Dec 2025

Usia Kandungan Cecah 8 Bulan, Uyaina Arshad ‘Bangga’ Berat Badan Hanya Naik 9 Kilogram

Uyaina memaklumkan, berat badannya setakat ini hanya bertambah sebanyak 9 kilogram sahaja.

Featured Tue, 28 Jun 2022

Dibelasah Guna Kayu.. Anak Perempuan Hampir Diculik! Lufya Omar Kongsi Momen Berdepan Detik Cemas

Allahuakbar! Begitulah kasih sayang seorang ibu, pertahankan anak meski perit menahan sakit dipukul. Lufya kata penting untuk setiap wanita ada ilmu silat! Min sokong.

Featured Fri, 16 Dec 2022

[VIDEO] Neelofa Kongsi Tips Mata Segar Untuk Bangun Solat Tahajjud

Haa siapa yang liat nak buka mata tu boleh try tips ni

Featured Thu, 24 Jul 2025

Nora Ariffin Perjelas Isu Bayaran Royalti Tiada Kena Mengena Dengan Sheila Majid

Nora mahu menjadi ‘suara’ bagi anak-anak pengkarya muzik berdepan isu serupa.

Featured Fri, 8 Apr 2022

Coklat Telur Kinder Suprise Didakwa Mengandungi Salmonella

Didakwa mengandungi salmonella, coklat telur Kinder Surprise ditarik balik

Featured Sat, 28 Feb 2026

Aedy Ashraf Dedah Hidup Struggle, Lahir ketika Bapa Dalam Penjara – “Saya Dibesarkan Di Kawasan Perumahan ‘Dodgy Flat'”

Pelakon berbakat, Aedy Ashraf tampil mendedahkan mengenai kisah disebalik kehidupan peribadinya yang penuh cabaran termasuklah dibesarkan tanpa figura seorang ayah.

Eat Travel Thu, 19 Mar 2020

Lokasi tersembunyi saji pemandangan menarik

Rancang dahulu, sewa kemudian

error: Content is protected !!