Categories: Gaya Hidup

Coffee Bean & Tea Leaf kumpul RM30,000 bagi pemuliharaan burung enggang

Jika Sabah terkenal dengan gelaran Negeri di Bawah Bayu, Sarawak pula digelar Bumi Kenyalang. Kenyalang ialah burung enggang yang lazimnya banyak didapati di Sarawak dan dianggap burung suci khususnya dalam kalangan masyarakat Iban sehingga turut diabadikan dalam jata Sarawak.

Lazimnya badan burung enggang berwarna hitam dan ia mempunyai paruh serta ‘topi’ yang berwarna kuning jingga. Terdapat 10 spesies burung enggang yang berasal dari Malaysia iaitu enggang kelingking, enggang kekek, enggang buluh, enggang bulu, enggang gunung, enggang hutan, enggang berkedut, enggang papan, enggang badak dan enggang tebang mentua. 

Malangnya, lapan daripada spesies yang disebut itu kini diancam kepupusan khususnya enggang tebang mentua!

Spesis Enggang Kelingking ini dijumpai di Melaka. Gambar hiasan NSTP/Ihsan Pembaca

Inisiatif penting

Sehubungan itu, untuk menyelamatkan burung yang menjadi ikon di Sarawak itu , Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) melakukan pelbagai usaha sejak tahun 2004, termasuklah mengadakan Program Pemuliharaan Burung Enggang.

Bagi membantu inisiatif itu, rangkaian Coffee Bean & Tea Leaf mengadakan kempen kutipan derma Save Bill yang dilancarkan tiga bulan lalu dan berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM30,000.

Pengarah Pemasaran dan Pembangunan The Coffee Bean & Tea Leaf® Malaysia, Fiona Rodrigues, berkata menerusi inisiatif berkenaan, The Coffee Bean & Tea Leaf® Malaysia mengeluarkan barangan edisi terhad Hornbill yang berupa tumbler dengan tiga warna berlainan, cawan dengan penutup serta kad keahlian Hornbill TCB.

“Sejak tiga bulan lalu, kami menawarkan sebanyak RM5 daripada setiap pembelian produk khas yang dikeluarkan bersempena dengan kempen ini akan disalurkan kepada MNS. Hasilnya, kami berjaya mengumpul dana sebanyak RM30,000!

“Kami berharap kempen ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai burung ikonik Malaysia ini serta masa depan kelangsungan hidup burung enggang,” katanya.

Pada majlis itu, Fiona menyampaikan sumbangan terbabit kepada Pengarah Eksekutif MNS, IS Shanmugaraj dan Pengurus Program Pemuliharaan Burung Enggang, Yeap Chin Aik.

Fiona menyampaikan replika cek kepada Pengarah Eksekutif MNS, I.S Shanmugaraj dan Yeap Chin Aik. Sumber: NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Jom bantu pelihara

Setiap tahun, MNS akan memfokuskan usaha pemuliharaan mereka terhadap sesuatu spesies haiwan. Sebelum ini, antara haiwan yang pernah diketengahkan ialah harimau Malaya, tapir, monyet dan gajah.

Pemilihan burung enggang sebagai kempen MNS tahun ini diharap dapat menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai masalah burung enggang yang memerlukan habitat untuk terus membiak dan hidup.

Sementara itu, Chin Aik berkata, burung enggang memerlukan kawasan yang luas seperti Kompleks Hutan Belum-Temenggor untuk dijadikan sebagai tempat tinggal.

“Sumber makanan yang mencukupi dan tempat untuk bersarang juga penting dalam membantu menyokong perkembangan populasi yang sihat. Kini antara ancaman yang dilalui oleh spesies ini termasuklah kehilangan dan kerosakan habitat akibat proses penebangan hutan serta aktiviti memburu.

“Selain itu, tengkorak burung enggang juga dikatakan dijual kepada pengumpul dari China untuk dijadikan perhiasan,” katanya.

Spesis Rhinoceros Hornbill banyak dijumpai di Malaysia. Sumber: natureandjungle.blogspot.com

MNS bekerjasama dengan banyak pihak termasuklah komuniti Orang Asli tempatan untuk mengenali spesies itu dengan lebih dekat.

Orang ramai juga boleh menyumbang kepada usaha untuk memulihara burung enggang dengan menyertai Program Sukarela Burung Enggang MNS dan diharap dengan kesedaran lebih tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap inisiatif pemuliharaan spesies terancam itu dapat menjamin kelangsungan hidup burung enggang serta spesis-spesis lain di Malaysia.

Ad Ops