Categories: Gaya Hidup

Malu Bila Orang Tegur Ketiak Anda Basah? 4 Cara Ini Bantu Atasinya

Anda pernah tak alami ketiak yang berpeluh? Kebiasaannya cuaca panas akan menyebabkan badan kita mudah berpeluh dan salah satu bahagian badan yang berpeluh adalah ketiak. Mesti anda tertanya-tanya kenapa dah guna deodoran pun ketiak masih berpeluh, malah meresap pula ke dalam baju. Mesti malu kalau orang nampak kan? 

Selain itu, peluh yang berlebihan di ketiak juga akan menyebabkan pakaian kita berona kuning pada bahagian bawah lengan baju. Lagi-lagi jika baju kita berwarna putih, memang menyerlah rona kuning tu kan? Anda pernah mengalaminya tak?

Kalau anda nak tahu, peluh adalah salah satu cara untuk menghilangkan toksin dalam tubuh. Penggunaan deodoran sebenarnya tidak dapat menghentikan pengeluaran peluh! Anda mesti nak tahu kan macam mana nak atasi masalah ini? Jangan risau, anda boleh mengendalikan peluh berlebihan dengan beberapa cara ini:

1. Gunakan deodoran semulajadi

Selain daripada menggunakan deodoran yang dijual di pasaran, anda juga boleh membuatnya daripada bahan semulajadi. Cara yang pertama ialah dengan menggunakan campuran baking soda dan air. Sapukan ramuan ini pada ketiak anda dan biarkan selama 30 minit, kemudian bilas dengan air bersih.

Cara yang kedua pula, anda boleh menggunakan cuka epal yang disapu pada ketiak selepas mandi. Cuka epal ini akan menjadikan ketiak anda lebih kering. Anda juga boleh membuat campuran jus lemon dengan isi tomato. Sebatikan dua campuran tersebut dan sapu pada bahagian ketiak dan biarkan selama 30 minit, seterusnya bilas dengan air bersih.

2. Pastikan ketiak anda bersih

Apabila anda merasakan ketiak anda mula berpeluh, segeralah mengeringkannya dengan kain atau tisu. Sebaiknya, jangan memakai sebarang deodoran apabila ketiak sedang basah. Ia akan meningkatkan pengeluaran peluh pada ketiak. Anda perlu mencuci ketiak dengan sabun dan keringkan terlebih dahulu sebelum menyapu deodoran.

Selain itu, anda juga boleh memakai baju dalam agar peluh tidak meresap secara terus pada pakaian anda. Pemakaian baju dalam akan menyerap terlebih dahulu semua peluh anda. Cara ini juga akan boleh mencegah timbulnya kesan rona kuning pada baju anda. 

3. Mencukur bulu ketiak

Anda juga perlu mencukur bulu ketiak kerana ia dapat membantu mengurangkan pengeluaran peluh. Bulu halus pada ketiak anda akan menjadikan ketiak lembap dan menghasilkan lebih banyak peluh. Bukan itu sahaja, kalau anda membiarkan bulu ketiak terus panjang akan menimbulkan kegatalan. Dah lah berpeluh pastu gatal pula ketiak, mesti tidak selesa!

4. Semak diet anda

Sebaiknya anda perlu mengelakkan makan makanan berbau tajam terutamanya bawang jika anda mudah berpeluh. Elakkan juga makan daging, susu, dan makanan pedas yang boleh meningkatkan suhu badan. Kalau anda nak tahu, makanan jenis ini akan membuatkan hypothalamus menghantar isyarat ke otak untuk menghasilkan lebih banyak peluh.

Kesimpulannya, jika anda mengalami masalah berpeluh yang teruk, cubalah cara ini! Jangan biarkan orang lain menegur ketiak anda basah, kan dah malu?

Sumber: Aliffchannel

tex_admin