Categories: Gaya Hidup

Menurut Kajian, Pelajar Malaysia Paling Hormat Kepada Pengetua Berbanding 35 Negara Lain

Sejak dari kecil lagi, ibu bapa kita sentiasa mengajar tentang nilai hormat-menghormati sesama keluarga mahupun orang luar. Nilai inilah yang akan kita praktikkan sehingga hujung nyawa. Setuju?

Nilai ini juga menjadi faktor dalam membina hubungan baik sesama manusia yang berperanan untuk menjaga keharmonian negara kita.

Baru-baru ini, satu kajian menunjukkan rakyat Malaysia paling menghormati pengetua berbanding 35 negara lain. Indeks Status Guru Global 2018 telah memperoleh keputusan ini selepas responden diminta menilai 14 pekerjaan lain.

Berdasarkan keputusan tersebut, rakyat Malaysia menghormati pengetua sekolah adalah yang paling tinggi berbanding profesion lain termasuklah doktor dan pekerja sosial.

Berdasarkan kajian oleh Yayasan Varkey ini, Malaysia dikatakan berada di belakang negara China dalam soal menghormati guru. Menunjukkan sebanyak 58% rakyat Malaysia menghormati guru mereka berbanding purata 36%.

“Kini tanpa curiga, kita boleh mengatakan menghormati guru bukan sahaja tugas moral tetapi penting kepada matlamat pendidikan negara,” menurut pengasasnya Sunny Varkey.

Penemuan lain dalam kaji selidik tersebut turut melaporkan, hampir separuh iaitu 49% rakyat Malaysia menggalakkan anak-anak mereka menjadi guru apabila sudah dewasa. 

Kesimpulannya, guru sebagai agen pendidik memang layak untuk sentiasa dihormati kerana merekalah yang mendidik anak-anak kita sehingga berjaya!

Sumber: Malay Mail

tex_admin