Categories: Gaya Hidup

Menurut Kajian, ‘Supper’ Selepas 10 Malam Tingkatkan Risiko Kanser. Biar Betul?

Anda suka makan lewat malam? Kalau anda suka tabiat makan lewat malam lebih baik anda hentikan! Ini kerana, tabiat makan pada lewat malam akan mengundang bahaya kepada kesihatan kita. 

Menurut sebuah kajian yang dikeluarkan oleh Jurnal Kanser Antarabangsa pada 17 Julai lalu, mendedahkan tentang bahayanya makan selepas jam 10 malam ataupun sebelum tidur dalam keadaan perut penuh.

Hasil kajian memberitahu, tabiat makan selepas jam 10 malam boleh meningkatkan dua jenis kanser yang paling banyak dihadapi di seluruh dunia sebanyak 20 peratus iaitu kanser payudara dan kanser prostat. 

Foto: Care2

Berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas 621 orang pesakit kanser prostat dan 1,205 pesakit kanser payudara mendapati bahawa kebanyakan daripada mereka selalu bekerja pada syif malam. Ini bermakna mereka cenderung untuk makan pada lewat makam sebelum tidur.

Selain itu, kajian oleh Institut Kesihatan Global Barcelona (ISGlobal) itu juga menyatakan bahawa individu yang makan pada awal waktu sekurang-kurangnya dua jam awal sebelum tidur adalah 20 peratus lebih rendah risiko untuk mengidap kanser. 

Kesimpulannya, tidak perlu lagi lepak mamak selepas jam 10 malam okay! Kalau tengah malam rasa lapar, anda boleh makan roti ataupun oat. Yang penting, ikuti waktu pemakanan yang betul setiap hari agar kesihatan kita terus terjaga.

Jadual makan yang disarankan:

Sarapan pagi: 7.00 – 8.30 pagi

Minum pagi: 10.00 – 10.30 pagi

Makan tengah hari: 12.00 – 2.00 petang

Minum petang: 4.30 – 5.30 petang

Makan malam: 6.30 – 8.30 malam

Sumber: ScienceDaily , Remaja , Hafizmohd

tex_admin