Categories: Gaya Hidup

Pasangan yang bahagia pun boleh curang! Sebabnya akan memeranjatkan anda

Kecurangan sering dikaitkan dengan hubungan percintaan yang tidak kukuh.

Lazimnya apabila seseorang itu berlaku curang terhadap pasangannya, ramai yang beranggapan masalah berpunca daripada pasangan berkenaan atau hubungan mereka secara amnya.

Apabila berada dalam situasi ini, pasti anda akan tertanya-tanya sama ada anda pernah melakukan sesuatu untuk menjejaskan hubungan dengan pasangan.

Menurut ahli terapi Esther Perel, ada banyak faktor  yang membuatkan seseorang itu curang, antaranya kesunyian, rasa diabaikan dan tidak diterima atau dihargai oleh pasangan.

Selain itu, katanya, faktor lain turut membabitkan rasa terlalu puas hati dengan hubungan mereka sehingga timbul rasa bosan.

“Bagaimanapun, ada satu lagi faktor yang tiada kena-mengena langsung dengan pasangan, iaitu keinginan untuk mencari diri sendiri (self-seeking).

“Ada kalanya, mereka bukan mencari seorang lagi teman hidup, tetapi sebenarnya mereka mencari diri mereka yang satu lagi,” kata Esther.

Hal ini lazimnya berlaku apabila sesuatu pasangan itu sudah lama hidup bersama-sama dan mungkin seorang daripadanya berharap untuk mencari semula sebahagian daripada diri mereka yang telah ‘hilang’.

Ini termasuk mereka berharap untuk melalui kehidupan atau pengalaman yang pernah diidamkan, tetapi selama ini tidak berkesempatan.

 

Foto: Shutterstock

Di dalam bukunya, The State Of Affairs, Esther berkongsi kisah hidup seorang wanita yang bernama Priya. Hubungan perkahwinannya stabil dan memuaskan, tetapi dia mengadakan hubungan sulit dengan seorang pemandu trak bertatu, tetapi mengakui hubungan berkenaan tidak serius.

Esther mendapati Priya dahulu ialah seorang pelajar yang baik di sekolah dan juga seorang anak perempuan, isteri dan ibu yang berbakti kepada keluarga.

Ketika Priya mula menjalinkan hubungan sulitnya, anak-anak perempuannya baru mencecah umur remaja.

“Priya memberi sokongan hidup kepada mereka, tetapi pada masa yang sama, dia berasa cemburu. Apabila dia menghampiri usia 50 tahun, dia mula memberontak, seolah-olah dia ialah seorang remaja,” jelas Esther.

 

Foto: Tranquil Monkey

Bagaimanapun, ini tidak bermakna pasangan yang dicurangi patut mengabaikan kejadian berkenaan kerana dengan intervensi yang bersesuaian anda boleh mengembalikan keseronokan dalam hubungan.

Kadangkala, pasangan itu memahami mengapa pasangannya berlaku curang, justeru paling penting, dalam keadaan itu pasangan terbabit akan berasa lega apabila mengetahui bahawa dia bukanlah punca perkara itu berlaku.

“Kita perlu ingat yang pasangan kita mungkin berasa tidak gembira dengan diri sendiri dan beranggapan sudah tiba masanya untuk dia menentukan sendiri perjalanan hidupnya.

“Dia mungkin rasa teringin untuk memperbaharui hidupnya yang sebelum ini tidak begitu memuaskan. Akhirnya dia dapat buat sesuatu yang dia ingini,” katanya.

Sumber: Business Insider

Ad Ops