Categories: Gaya Hidup

Perkahwinan Berkonsepkan Taman Atau Di Waktu Malam Memang Romantis Tapi…

Sepanjang berlangsungnya Syawal, memenuhi undangan perkahwinan bagaikan sama meriahnya dengan jemputan rumah terbuka.

Memang tidak dinafikan, Syawal adalah waktyu terbaik untuk mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan. Tinggal lagi, jika anda merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan, ada beberapa hal yang perlu anda pertimbangkan. 

Berikut merupakan beberapa idea yang anda rasa menarik untuk direalisasikan pada majlis perkahwinan tetapi sebetulnya harus dielakkan:

1. Perkahwinan di taman

Meskipun resepsi yang dilatari hutan hijau dan disemarakkan dengan bunyian unggas kedengaran sungguh mengasyikkan, realitinya, sungguh mengejutkan. Pastinya tetamu yang hadir enggan menghadapi situasi di mana mereka terpaksa mengelap peluh yang berjuraian akibat cuaca panas serta mengalami gatal-gatal setelah digigit serangga ketika sedang menjamu selera. Jika anda inginkan suasana outdoor, apa kata memilih tema berkenaan untuk penggambaran pra-perkahwinan anda. Mudah serta tidak melibatkan tetamu.

2. Tanglung hajat

Perkara terakhir untuk anda risaukan pada majlis perkahwinan adalah menjadi penyebab kepada kebakaran! Antara aktiviti yang perlu dielakkan ketika mengadakan majlis perkahwinan di luar adalah memasang lilin, tanglung hajat dan bunga api. Lebih-lebih lagi jika keadaan cuaca yang begitu berangin dan kering. Bukan sahaja berbahaya, tetapi tidak selamat untuk tetamu cilik yang turut hadir.

3. Projek DIY

Sesetengah projek seharusnya diserahkan kepada tenaga pakar. Seperti menggubah bunga, penyediaan makanan, gambar dan muzik. Perkara-perkara ini bukan sahaja boleh membuat anda tertekan ketika menyiapkannya, malah tidak berbaloi apabila hasilnya tidak sama dengan jangkaan anda. Mungkin anda mahu menjimatkan belanja, tetapi percayalah, hasil akhirnya tidak serupa dengan apa yang anda lihat di laman-laman web perkahwinan.

Foto : Pinterest

Sumber : Pepatung

Yanie Baharom