Categories: Gaya Hidup

Sashimi pun boleh dijadikan karya seni yang menakjubkan! Lihatlah hasil kreativiti artis ini

Penggemar makanan Jepun pastinya pernah mencuba hidangan sashimi, iaitu kepingan makanan laut mentah yang boleh dimakan begitu sahaja.

Tetapi ingat ya, sashimi tidak sama dengan sushi yang juga menampilkan gumpalan nasi. Sebaliknya, sashimi terdiri daripada hirisan ikan, sotong atau kerang yang nipis dan segar.

Lazimnya ia dimakan dengan sedikit kicap atau wasabi. Memang sedap! Tetapi siapa sangka apabila disusun dengan teliti, hidangan eksotik ini boleh dijadikan sebagai satu karya seni kreatif yang luar biasa!

Lihatlah kreativiti yang ditampilkan menerusi seni sashimi ini!

Inilah hasil kerja yang dikongsikan menerusi akaun Instagram @mikyouoi00.

Dari pandangan pertama, anda mungkin akan ingat bahawa pemiliknya ialah cef terkemuka dengan pengalaman yang luas.

Jika jawapannya ya, anda salah sama sekali. Sebenarnya, artis Mikyoui00 ini menggelarkan dirinya sebagai seorang amatur yang kerap memasak di rumah.

Bapa kepada dua anak yang berasal dari Matsuyama, Jepun, ini berkata idea untuk menggunakan sashimi sebagai bahan seni datang secara tiba-tiba.

 “Kerjaya saya tiada kena-mengena dengan seni atau reka bentuk. Pada mulanya, saya ingin mengajar anak lelaki saya bagaimana untuk menghiris dan menyediakan hidangan sashimi.

“Sepanjang saya mengajarnya, saya pula yang bertambah minat dalam menghasilkan seni dengan sashimi,” kata Mikyoui00.

Ia berlaku apabila susunan sashiminya lama-kelamaan mula tampak seperti imej seorang wanita jika dilihat dari sisi.

Tanpa sebarang latihan formal, beliau mula belajar cara menghiris dengan sendiri melalui YouTube dan berlatih untuk mencipta rekaan pelbagai rupa.

Antaranya termasuklah bentuk binatang, watak Disney, bidadari serta atlet. Beliau hanya menggunakan hirisan sashimi yang sangat nipis serta pelbagai jenis ramuan hiasan.

Salah satu rekaan kegemarannya berupa seorang penari wanita yang diinspirasikan daripada opera Carmen.

Tubuhnya serta bahagian atas pakaiannya diperbuat daripada ikan merah berbelang hitam, manakala skirt merahnya diperbuat daripada ikan tuna.

Bentuk badan wanita berkenaan dan gaunnya, serta pergerakan tangannya memberi ‘nyawa’ kepada seni kreatif ini.

Rekaan yang mudah hanya mengambil masa 10 minit untuk disiapkan, tetapi bagi yang lebih rumit, ada yang memerlukan lebih daripada 30 minit.

Hasil kerjanya bukan untuk dijual, tetapi beliau berkata beliau akan makan sashimi berkenaan dengan anak-anaknya.

Mikyoui00 mula berkongsi gambar rekaannya di Instagram pada pertengahan tahun 2017 dan kini telah meraih lebih 57,000 pengikut.

Seterusnya, Mikyoui00 ingin mencabar dirinya dengan menggunakan ikan yang jarang dikaitkan dengan sashimi.

Beliau juga ingin cuba menghasilkan seni sashimi berbentuk watak daripada anime popular Gundam. Pastinya anak beliau akan gemar!

Singgahlah di akaun Instagram @mikyoui00 untuk lihat pelbagai lagi rekaan yang menarik.

Sumber: Nippon.com, Now This

Ad Ops