Categories: Gaya Hidup

Senaman Setiap Hari, Selamat Atau Tidak?

Melakukan senaman setiap hari boleh memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan. Selain meningkatkan tahap tenaga seseorang, bersenam juga mampu mengawal berat badan serta mengurangkan risiko penyakit seperti tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular.

Namun, persoalannya adakah selamat atau tidak jika seseorang itu melakukan senaman setiap hari? Menurut Jurulatih Kecergasan Zumba, Hazel Ismail, aktiviti bersenam akan menjadi selamat jika seseorang individu itu memulakan senaman secara berperingkat dan mengikut tahap keupayaan diri.

“Secara asasnya, semua jenis senaman selamat untuk dijadikan rutin harian atau dilakukan setiap hari. Cuma kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan mengetahui tahap kemampuan badan kita. Senaman ringan dan yang tidak terlalu ekstrem disarankan selama 15 hingga 30 minit setiap hari agar badan dan jantung kita tidak terkejut dengan regim senaman yang dilakukan.

“Nasihat saya, dalam apa juga aktiviti, pemakanan dan rutin harian dalam menjaga kesihatan, semuanya haruslah bersederhana dan jangan terlalu ekstrem sehingga memudaratkan diri. Seeloknya, berjumpalah dengan doktor serta pakar kecergasan anda untuk mendapatkan nasihat mereka,” katanya.

Kebanyakan orang juga bertanggapan bahawa lebih banyak mereka bersenam, semakin cepat mereka akan mencapai matlamat kecergasan mereka. Namun begitu, tanggapan mereka silap kerana ia boleh memudaratkan diri. Malah, melakukan terlalu banyak senaman juga boleh menyebabkan masalah tidur, perasaan tidak menentu, selera makan yang lebih besar, masalah berat badan dan keletihan.

Ganguan tidur boleh berlaku jika terlebih senaman.

“Bersenam setiap hari adalah baik untuk mencapai matlamat kita dalam jangka masa yang cepat. Namun, jika kita bersenam dengan rutin senaman yang sama setiap hari, ia adalah suatu yang tidak efisen dan sihat kerana progres badan kita akan mendatar dan tidak lagi menunjukkan peningkatan.

“Justeru, jangan terlebih bersenam. Apa yang penting, tetapkan matlamat jangka pendek yang boleh membawa anda ke matlamat yang lebih besar,” ujar Jurulatih Selebriti dan pemilik Xclusive Fitnesz, Murad Zaidi.

Tambah Murad lagi, senaman selama 90 minit, enam kali seminggu seperti melakukan aerobik atau latihan kekuatan juga merupakan cara paling terbaik untuk membina kekuatan otot dan juga memecahkan lemak.

Kesimpulannya, bersenamlah mengikut keupayaan fizikal anda dan jangan melakukan aktiviti secara berlebihan dan di luar kemampuan anda.

Sumber : Aplikasi Wanita

Muat turun secara peruma di :

GooglePlay: bit.ly/WanitaAndroid

AppStore: bit.ly/WanitaApple

Ad Ops