Categories: Gaya Hidup

Wanita Malaysia ini cipta tudung pembedahan pertama di UK

Oleh Amnan Hibrahim

Seorang doktor wanita yang berasal dari Malaysia, Farah Roslan telah berjaya mencipta tudung pakai buang bebas kuman pertama di United Kingdom yang boleh digunakan oleh ahli perubatan Islam yang bertugas di hospital.

Menurut laporan daripada BBC, idea penciptaan tudung berkenaan mula timbul ketika melakukan latihan di Royal Derby Hospital. 

Farah Roslan (kanan) ketika bertugas di Royal Derby Hospital. Foto: BBC

Ketika ditemu bual oleh BBC Radio Derby, Farah berkata beliau terpaksa membataskan penglibatan  di dalam bilik bedah bagi menjamin faktor kebersihan.

“Ketika bekerja, saya akan memakai tudung yang sama sepanjang hari dan hal yang berkenaan tentunya mendedahkan tudung berkenaan dengan pelbagai jenis kuman.

“Disebabkan itu, saya akan diarahkan secara terhormat untuk meninggalkan bilik bedah bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman daripada berlaku,” katanya.

Halangan yang ditempuhi ketika betugas di Royal Derby Hospital sebagai doktor pelatih memberi inspirasi kepada Farah Roslan untuk mencipta tudung pakai buang bebas kuman. Gambar hiasan/Foto: Bloomberg

Tambah Farah lagi, beliau merasakan adalah sangat penting untuk mencari penyelesaian bagi menyeimbangkan antara pematuhan terhadap syariat pemakaian oleh agama serta minatnya untuk terlibat sama menyumbang tenaga di dalam bilik pembedahan.

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai penciptaan tudung berkenaan, Farah berkata, beliau merujuk kepada tanah airnya iaitu Malaysia ketika memikirkan rekaan dan juga jenis fabrik yang digunakan bagi pembuatan tudung berkenaan. 

Malaysia dijadikan sebagai rujukan utama ketika Farah menetapkan rekaan dan juga pemilihan fabrik yang hendak digunakan dalam ciptaan tudung pakai buang bebas kumannya itu . Gambar hiasan/NSTP/SYAMSI SUHAIMI

Farah yang kini bekerja di Lincolnshire berharap agar penggunaan tudung ciptaannya itu akan diiktiraf dan seterusnya boleh digunakan di seluruh hospital di United Kingdom.

Berdasarkan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh University Hospital of Derby and Burton NHS Trust, penggunaan tudung berkenaan sudah mula digunakan buat pertama kalinya pada awal Disember ini.

tex_admin