Aaron Aziz Stalk Mesej Anak Perempuan di Instagram

Pelakon Datuk Aaron Aziz mengakui sebagai bapa, tidak mudah untuk mempercayai mana-mana individu yang cuba untuk mendekati anak-anaknya.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, dia pernah mengawasi penggunaan media sosial anak perempuannya bukan kerana mengongkong tetapi bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

“Saya ini boleh dikatakan seorang bapa yang agak ‘protective’. Dulu, selalu juga ‘stalk’ mesej yang dihantar di media sosial anak saya, Dahlia Arissa untuk tahu dengan siapa dia berkomunikasi.

“Bukan tidak percaya, tetapi saya tidak boleh senang-senang meletakkan kepercayaan kepada sesiapa sahaja yang cuba berkawan dengan anak perempuan saya,” katanya.

Namun, pelakon filem KL Gangster ini sedar bahawa penggunaan media sosial tidak sepenuhnya memberi kesan negatif.

“Saya sedar kita semua kena berhati-hati, pada masa sama, saya bersetuju media sosial ada manfaatnya.

“Saya selalu ajar anak-anak untuk menggunakan media sosial secara positif. Kalau kita ambil media sosial sebagai sesuatu yang positif, maka positiflah ia.

“Kalau ambil dari sudut yang negatif, maka semuanya akan jadi negatif. Saya rasa, pada era ini, kita sebagai ibu bapa kena didik anak-anak dan percayakan mereka. Tetapi, bab ini pun saya masih belajar,” ujarnya.

Untuk rekod, Aaron mendirikan rumah tangga bersama Datin Diyana Halik pada Ogos 2003 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dahlia Arissa.

Maya Basir