Categories: AcaraHiburanTrending

ABPBH 35: Persaingan Sengit 10 Penyanyi Hebat Tanah Air! Ini Ramalan Siapa Bakal Julang Penyanyi Lelaki & Wanita Popular Malam Ini

Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 35) bakal menjelang tiba sekali gus akan merungkai pemenang bagi setiap kategori, pada malam ini.

Umum mengetahui, ABPBH 35 kali ini tampil mempertaruhkan sebanyak 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan.

Malah, calon bagi senarai Top 5 untuk setiap kategori tersebut mempunyai kehebatan dan keunikkan tersendiri sepanjang penglibatan mereka dalam industri seni tanah air.

Sudah pasti kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Penyanyi Wanita Popular antara yang ditunggu-tunggu oleh peminat industri muzik tanah air.

Berikut merupakan ramalan XTRA bagi dua kategori tersebut:-

Menerusi senarai Top 5 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular kali ini, Amir Masdi, Hael Husaini, Haqiem Rusli, Khai Bahar dan Naqiu sememangnya mempunyai ‘aura’ suara jantan tersendiri dalam setiap karya mereka.

Namun, berdasarkan kualiti vokal yang berjaya menangkap perhatian pendengar sudah tentu Amir Masdi mampu merampas gelaran Penyanyi Lelaki Popular pada tahun ini.

Di samping mempunyai ton suara yang unik, lagu-lagu terkini Amir Masdi juga berjaya menyentuh hati pendengar seperti Ilusi Keliru, Sengaja, Asmara, Kau Sakiti dan Debu.

Untuk kategori Penyanyi Wanita Popular pula, ramalan kali ini berpihak kepada Ernie Zakri meskipun perlu bersaing dengan barisan penyanyi wanita yang lain seperti, Aina Abdul, Nabila Razali, Siti Nordiana dan Wany Hasrita.

Jika dilihat kepada kemantapan vokal suara, Ernie mempunyai suara yang sangat lunak bahkan mampu memukau pendengar setiap kali mencapai nota tingginya.

Bukan itu sahaja, jika diimbau kembali penyanyi ini juga pernah memenangi beberapa kali memenangi kategori Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu Ke-32 & Ke-35 dan Anugerah Industri Muzik Ke-23.

Biarpun sekadar ramalan sahaja, siapa tahu kali ini rezeki berpihak kepada mereka?

Untuk maklumat, proses pemilihan calon Top 5 bagi setiap kategori adalah berdasarkan 70 peratus undian daripada peminat dan 30 peratus lagi daripada juri profesional.

Calon yang mendapat undian terbanyak bakal dianugerahkan sebagai juara dengan gelaran Bintang Paling Popular ABPBH 35.

Mengangkat tema Ekspresi Legasi Seni, ABPBH 35 yang akan dihoskan oleh Johan dan Ain Edruce bakal bersiaran langsung dari Istana Budaya pada jam 9 malam.

Orang ramai juga boleh menonton ABPBH 35 di TV3 atau melalui platform Tonton.

Fatin Nurain