‘Ada Orang Cakap Jadi Busker Tiada Masa Depan’- Pasya Kongsi Pengalaman 10 Tahun Jadi Penyanyi Jalanan

Finalis Mentor 7, Pasya mendedahkan dia mula bergelar penyanyi jalanan sejak di usia 13 tahun lagi.

Tidak pernah berasa kerjaya busker sebagai pekerjaan memalukan, jejaka berusia 25 tahun ini menimba banyak pengalaman membuat persembahan di tempat awam.

“ Sejak tingkatan satu lagi saya sudah mula keluar mencari rezeki. Pada mulanya segan juga tetapi lama kelamaan timbul rasa seronok menghiburkan orang.

“ Selepas habis waktu persekolahan, saya dan rakan-rakan akan busking sekitar Ampang. Biasanya saya membuat persembahan di kedai-kedai makan yang menjadi tumpuan ramai. Walaupun hampir 10 tahun menyanyi di tepi jalan, saya belum puas,” katanya kepada XTRA.

Pasya atau nama sebenarnya Faizul Ashraf Fauzi turut berkongsi pengalaman di mana pendapatan diterima sebagai busker juga lumayan.

“ Ada hari yang kami terima sumbangan banyak daripada penonton, ada juga hari yang kurang. Walaupun ada suara sumbang yang berkata jadi busker tiada masa depan, kenyataan itu tidak pernah melunturkan semangat saya.

“ Bagi saya semua pekerjaan di dunia ini ada pulangan yang baik sekiranya kita tidak berhenti berusaha dan lakukan yang terbaik. Walaupun kerjaya sebagai busker tidak memerlukan kami memakai tie, pendapatan tetap lumayan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pasya kini sibuk dengan urusan promosi single terbaharu berjudul Rapsodi Jalanan. Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Ibnu Fred dan turut mendapat sentuhan penggubah lagu tersohor, Anas Amdan sebagai penerbit rakaman.

Single Rapsodi Jalanan merupakan terbitan Monkey Bone dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar. Lagu ini boleh didengarkan di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.

SGMS Faida