Afieq Shazwan Murung Adegan Mesra Bersama Fasha Sandha Dikritik, Pernah Rasa Tak Mahu Berlakon Lagi – “Saya Mengaku Itu Memang Salah”

Pelakon dan penyanyi Afieq Shazwan mengakui murung selepas dihentam warga maya gara-gara berkongsi beberapa gambar adegan mesra bersama aktres popular, Fasha Sandha di Instagram (IG) baru-baru ini.

Pemilik nama Mohammad Shafieq Shazwan Zamros ini berkata, dia perlu melalui tempoh bertenang selama seminggu untuk meredakan situasi itu.

“Saya tak baca komen. Memang murung sekejap dan saya perlu mengambil masa dalam seminggu untuk redakan rasa itu.

“Sampaikan saya cakap pada diri saya, ‘Ya Allah salah sangat ke apa aku buat ni kan?’. Tetapi saya akui apa yang saya buat itu memang salah. Salah tetap salah. Biasalah mulut orang kita tak boleh nak tutup

“Saya pun berbincang semula dengan Kak Fasha dan dia pesan pada saya, ‘Kalau tak nak kacau mood serta mental kita ni jangan baca komen-komen itu’,” katanya ketika ditemui XTRA.

Afieq ditemui ketika penggambaran filem Saka Perawan di Teratak Angah Chalet, Kemensah pada petang Isnin.

Tambahnya lagi, dia turut merasakan enggan lagi menceburi bidang lakonan dek kerana kontroversi tersebut namun menganggap ia adalah onak duri yang perlu dilalui anak seni.

“Adalah juga saya rasa macam tu (berhenti berlakon) sampaikan saya cakap dengan pengurus saya, ‘Dah lah bang, saya tak nak berlakon dah lah’.

“Sebab waktu itu saya rasa ‘down’ sekejap tetapi itulah bidang seni. Apa yang saya boleh katakan sekarang ni saya memilih sikit untuk lakonkan sesuatu babak tu.

“Bukan sebab saya ni bagus ke apa cuma saya takut benda-benda yang sensitif seperti ini berlaku lagi,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Afieq dan Fasha menuai kecaman warga maya selepas memuat naik beberapa foto aksi mesra mereka bagi sebuah drama.

Filem Saka Perawan adalah sebuah filem bergenre seram komedi arahan Dr Ahmad Idham Nadzri yang dibarisi pelakon dan pelawak hebat tanah air seperti Isyariana, Sophia Albarakbah, Nelissa Nizam, Afieq Shazwan, Datuk Fauziah Nawi, Azlee Senario, Mamak Puteh, Man Raja Lawak, Anne Abdullah dan ramai lagi.

Khairil Khusyairi