Aina Abdul Malu Peminat Berbalah – “Anak Seni Seperti Saya Perjalanannya Masih Jauh”

Susulan timbulnya perbalahan mengenai siapakah yang layak diberi gelaran penyanyi nombor satu negara, penyanyi popular Aina Abdul tampil memberikan pendapatnya mengenai perkara tersebut.

Memetik laporan Kosmo, Aina atau nama penuhnya Nurul Aina Abdul Ghani, 30, berkata, dia berasa malu dengan permintaan peminat berkenaan gelaran penyanyi nombor satu negara.

Katanya, dia hadir dalam industri seni bukanlah untuk bersaing apatah lagi dengan penyanyi yang sudah dijadikan idolanya, melainkan untuk berkarya semata-mata.

“Perbandingan ini tidak sepatutnya berlaku, mereka perlu sedar penghibur yang mereka bandingkan itu adalah idola saya.

“Bila saya baca kenyataan tersebut, saya sendiri jadi malu. Jadi saya faham kenapa orang marah.

“Sebagai tuan badan, saya pun tidak bersetuju dibandingkan dengan figura hebat sepertinya dan saya harap kejadian sebegini cepat berakhir,” katanya.

Selain itu, Aina menegaskan, Datuk Seri Siti Nurhaliza memang layak untuk diberi gelaran penyanyi nombor satu negara dek kerana kerja keras dan pencapaiannya mengangkat industri seni di peringkat antarabangsa.

Bahkan, dia mengaku dirinya belum sampai ke tahap apa yang dimiliki penyanyi kesayangan ramai itu.

“Saya tak pernah terlintas nak letakkan diri dalam mana-mana nombor atau posisi.

“Siti adalah salah seorang idola saya. Jadi, saya berterima kasih kepada Siti dan penyanyi lain yang sentiasa menyuntik inspirasi saya.

“Lagipun anak seni seperti saya perjalanannya masih jauh dan banyak yang perlu saya belajar,” jelasnya.

Sebelum ini, penyanyi Misha Omar ada meluahkan pandangannya berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, peminat perlu matang dan bijak agar perkara sebegini tidak berlaku sekaligus menimbulkan rasa kurang selesa terhadap penyanyi pujaan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN:Peminat Aina Abdul Rebut Takhta Penyanyi Nombor Satu? Ini Nasihat Misha Omar – “Puja Jangan Sampai Berbalah”

Sumber: Kosmo

Salma Syahbuddin