Ajar Puasa Sejak Kecil, Ani Mayuni Kongsi Ragam Anak Ketika Sahur

Penyanyi dangdut Ani Mayuni memberitahu dia mula mengajar tiga anaknya mula berpuasa sejak dari usia enam tahun.

Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman turut berkongsi cara untuk mengajar anaknya untuk menahan lapar di bulan puasa.

“ Saya akan pastikan ketiga-tiga anak saya akan makan kurma dan minum segelas susu sebelum masuk tidur.

“ Tiga anak saya memiliki ragam berbeza ketika bersahur. Yang sulung, dia tidak boleh ambil makanan berat ketika bersahur kerana cepat lapar katanya. Anak kedua pula lebih gemar menjamah nasi dan telur goreng manakala anak ketiga hanya minum air kosong ketika bersahur. Yang bongsu ini memang macam saya, kami perlukan segelas air suam untuk bersahur,” kongsinya.

Penyanyi berusia 40 tahun itu turut memaklumkan dia bakal sibuk sepanjang Ramadan ini dengan persembahan di Hotel Royal Kuala Lumpur.

“ Ini merupakan tahun keenam saya bekerja menghiburkan tetamu yang datang berbuka puasa di hotel ini. Atas kesibukan di bulan Ramadan, saya juga akan pastikan segala persiapan diselesaikan sebulan lebih awal.

“ Saya faham kalau bulan puasa nak bawa anak-anak keluar beli belah untuk Raya, mereka juga cepat letih. Jadi sejak enam tahun kebelakangan, saya memang sudah siapkan lebih awal,” katanya yang akan membuat persembahan di Hotel Royal selama 27 hari pada bulan Ramadan ini.

Ani berkahwin dengan Ayie yang merupakan bekas anggota kumpulan Arrow pada tahun 2008.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Wirda Viviana, Wirna Airisya dan Muhammad Emir Oezil.

SGMS Faida