Al- Fatihah…Bapa Rosma Meninggal Dunia

Al-Fatihah… Takizah buat keluarga penyanyi Rosma yang kehilangan bapanya malam tadi (Jumaat).

Allahyarham Sidik Abu Bakar berusia 81 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kuantan, Pahang, malam tadi, akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Difahamkan, Rosma atau nama sebenarnya, Rosmawati dan suami, Khai, bersama semua anggota keluarga berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir.

Pengurus Rosma, Mohd Hafizi Mohamed Rihat memberitahu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Kuantan, kira-kira jam 11 pagi tadi.

“Terima kasih kepada orang ramai, rakan dan teman media yang menyampaikan salam takziah kepada Rosma dan keluarga atas kehilangan bapanya,” katanya kepada BH Online.

Mohd Hafizi berkata, arwah sebelum ini sering keluar masuk hospital berikutan pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan angin ahmar.

Berikutan itu, beliau berkata, Rosma dan Khai tidak dapat memenuhi semua program yang sudah dipersetujui sebelum ini akibat pemergian ayah tercinta.

“Sebagai wakil mereka, kami meminta maaf kerana Rosma dan Khai tidak dapat menghadiri majlis yang sudah dipersetujui.

“Pasangan itu pulang ke kampung sejak tiga hari lalu bagi menemani Allahyarham sehinggalah detik terakhir,” katanya.

SGMS Faida