Siti Aafiyah Si Comel Pipi Merah!

Alhamdulillah…comel sungguh puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa! Memang sesuai betul dengan tanda pagar, Comel Pipi Merah yang digunakan di laman instagram penyanyi tersohor itu.

Penyanyi berusia 39 tahun itu telah mengumumkan nama anak kesayangannya, Siti Aafiyah.

Menurut Siti, nama ini dipilih kerana ia cukup indah daripada segi maknanya.

“Nama ini saya dapat ketika menunaikan umrah. Nama ini sering disebut dalam doa dan maknanya adalah yang baik-baik saja,” katanya pada pada majlis Maulid Nabi, aqiqah dan tahnik di kediamannya di Bukit Antarabangsa, semalam.;

Dalam pada itu, suaminya, Khalid, 59, berkata nama Siti Aafiyah mudah diingati.

“Nama ini dipilih berdasarkan doa diajar Rasulullah kepada bapa saudaranya, Abbas yang bertanya apakah doa terbaik untuk dibaca.

“Dalam doa itu ada menyebut perkataan ‘Aafiyah’ yang membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, menjadi sihat dan mempunyai wang yang cukup. Oleh itu, kami mengambil keputusan menamakan anak saya Siti Aafiyah,” katanya.

 

Datuk Siti juga berkongsi sebuah video yang dimuat naik di Instagram beliau seperti yang sudah dijanjikan pasangan ini.

Selepas menanti 11 tahun, Siti melahirkan bayi sulung secara pembedahan pada jam 8.17 pagi, Isnin lalu. Berita kelahiran si ‘Comel Pipi Merah’ itu disambut riang peminat yang menanti detik bersejarah itu.

Difahamkan, Siti bakal membuat kemunculan semula sekitar akhir tahun ini. Berehat dulu ya dan selamat menjalani kehidupan sebagai seorang ibu!

 

SGMS Faida