Alami ‘Imposter Syndrome’, Taylor Swift Mahu Jadi Pengarah

Penyanyi antarabangsa Taylor Swift, mengakui belum cukup puas berada dalam industri seni hiburan meskipun sudah meraih pelbagai kejayaan dalam bidang muzik.

Menurut Swift, jika diberi peluang dia mahu mengembangkan kerjaya seninya menjadi pengarah bagi menghasilkan muzik video pada masa akan datang.

“Saya berminat untuk menjadi pengarah selepas terpaksa mengarahkan sendiri muzik video saya berjudul The Man. Pengarah wanita yang saya mahukan ketika itu sangat sibuk sehingga saya terpaksa mengambil alih tugasnya.

“Saya lebih suka jika muzik video saya diarahkan oleh seorang pengarah wanita, namun kebanyakan mereka terlalu sibuk,” katanya.

Swift turut menyatakan peluang itu sekaligus membuat dirinya tertarik untuk terus mengarah bagi muzik video seterusnya.

“Ternyata saya juga mempunyai bakat dan idea untuk menjadi pengarah,” katanya.

Keberaniannya itu juga terbukti apabila dia mampu mengarahkan filem pendek All Too Well: The Short Film baru-baru ini.

Namun, penyanyi lagu Love Story itu mendedahkan dia mengalami ‘imposter syndrome’ sebelum menjadi pengarah bagi filem pendek itu.

“Saya memiliki ‘imposter syndrome’ di fikiran yang mengatakan, saya tidak akan melakukan itu, sebaliknya orang lain yang lebih berpendidikan akan melakukan tugas terbabit.

“Namun dalam fikiran saya selalu berkata yang saya sudah lama mengimpikan saat ini dan saya suka mencabar diri melakukan hal baharu. Jadi, saya cuba mencari kekuatan dan akhirnya saya yakinkan diri yang saya benar-benar ingin melakukan perkara ini,” katanya.

Sedikit maklumat, ‘Imposter syndrome’ adalah perasaan seseorang yang menganggap bahawa prestasi yang dicapainya hanya kebetulan, bukan dari hasil kerja kerasnya sendiri.

Memetik laporan Harian Metro, ‘Imposter Syndrome’ adalah perasaan seperti tidak percaya pada diri sendiri, sehingga sedar atau tidak, tindakan yang diambilnya boleh membawanya kepada hal-hal yang menghancurkan reputasi.

Mereka yang menghadapi sindrom ini juga bakal berhadapan risiko seperti kebimbangan dan kemurungan memandangkan mereka bergelut dengan konflik dalaman untuk menikmati suatu kejayaan yang sudah mereka capai.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain