Alami Najis Berdarah, Jaafar Onn Kini Berada Di Zon Kritikal

Pelakon Jaafar Onn yang terkenal dengan drama popularnya sekitar tahun 1990-an berjudul, Cili Padi kini dilaporkan berada di zon kritikal selepas mengesan darah ketika membuang air besar pada malam Isnin.

Memetik laporan mStar, anak angkatnya iaitu Hanif memaklumkan, bacaan hemoglobin dan tekanan darah aktor itu juga sangat rendah sebelum dia dibawa ke hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

“Selain buang air besar berdarah, bacaan tekanan darah  dan hemoglobinnya juga rendah.

“Dan pihak klinik juga tidak mampu berbuta apa-apa jadi kami terpaksa membawanya ke hospital sekitar pukul 12 pagi.

“Sekarang keadaannya sedar tapi masih berada  di dalam wad kecemasan di zon kritikal,” katanya.

Selain itu, Hanif memberitahu bahawa Jaafar tidak menunjukkan sebarang simptom sebelum mengalami najis berdarah kecuali dia hanya mengalami sakit perut sahaja.

Bagaimanapun, aktor itu kini sedang menjalani pemeriksaan lanjut termasuklah prosedur endoskopi bagi mengesan masalah yang ada dibahagian usus dan perutnya.

Menurut Hanif, ini adalah kali ketiga Jaafar mengalami masalah sama iaitu pada Julai tahun lepas, November dan April 2024.

“Sudah tiga kali dia mengalami masalah sama iaitu pada Julai tahun lepas, November dan April tahun ini.

“Dia ingat dia sihat, sebeba sebelum ini doktor beritahu puncanya sebab ada ulser dalam usus,” jelasnya.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin