Aleeza Kassim Kongsi Cerita Pertama Kali Mengajar Neelofa Jadi Model

Model dan pelakon terkenal, Aleeza Kassim berkongsi cerita yang mana pengacara terkenal, Neelofa merupakan bekas anak didiknya sekitar sepuluh tahun lalu.

Katanya yang pernah menjadi pengasas Akademi Peragaan Vogue & Work pada 2006 hingga 2009, dia berbangga melihat tahap pencapaian Neelofa pada hari ini.

“ Dari dulu saya nampak potensi dalam dirinya. Paling penting, Lofa amat bijak, hormat dan mendengar kata. Tidak hairanlah dia berada di tahap ini sekarang, she deserved it!

“ Sebelum dia bergelar selebriti, saya banyak memberi nasihat bagaimana untuk berdepan dengan dunia glamour terutama kerja dan bercakap dengan wartawan,” katanya kepada XTRA.

Sementara itu, peragawati berusia 49 tahun ini memberitahu dirinya kecewa melihat segelintir sikap selebriti atau model meningkat naik masa ini.

“ Selebriti zaman sekarang perlu menjaga adab lebih-lebih lagi sekarang zaman teknologi. Kalau dulu tiada sosial media untuk viralkan hal yang bukan-bukan, sekarang semua pantas.

“ Anda perlu sedar setiap pergerakan akan menjadi perhatian kerana sebilangan besar remaja sekarang menjadikan anda ikon. Jangan sebab nak glamour, anda terjun dalam bidang ini. Kecantikan dan keperibadian harus seiring untuk pergi jauh,” akhirinya.

Untuk pengetahuan Aleeza mula menjejakkan kaki ke dunia glamor apabila menjadi juara Dewi Remaja pada tahun 1987. Yang penting, kejelitaan Aleeza masih maintain sampai sekarang!

SGMS Faida