Aman Nassim Pilih Pensyarah Jadi Isteri

Kurang seminggu, pelakon dan penyanyi, Aman Nassim, 29, bakal menamatkan zaman bujang dengan pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Baizura Ghani, 33, selepas setahun menjalin hubungan.

“Setakat hari ini, persiapan dah siap hampir 90 peratus, selebihnya hanya bayaran baki untuk dewan dan katering.

“Tapi sempat juga diduga sedikit masalah apabila kad kahwin fizikal tidak sempat siap,” katanya.

Aman pada awal mahu mengedarkan kad itu kerana mahu mengekalkan tradisi jemputan menggunakan kad fizikal.

Tapi sebab ada kesalahan rekaan dan ejaan nama dan mengambil masa untuk menyunting dan mencetak semula, dia terpaksa membatalkannya.

Mujur dia sempat menyiapkan kad kahwin digital dan mengedarkannya kepada semua jemputan sejak minggu lalu.

“Malu jugalah kalau edar kad yang tidak sempurna kepada tetamu, tetapi saya reda dan optimis kerana tidak mahu mencacatkan majlis itu nanti.

“Ada juga pihak yang menawarkan diri mahu menaja tetapi saya menolak dengan baik dan mahu membayar penuh semua khidmat yang akan digunakan kelak,” katanya.

Selain itu, dia juga berdepan cabaran menyiapkan hari bersejarah ini dalam tempoh dua bulan saja.

Katanya, dia kelihatan tergesa-gesa atas faktor kesihatan ayahnya yang mengidap kanser menyebabkan perkara baik seperti ini lebih baik dipercepatkan.

“Tapi saya syukur sebab mendapat sokongan dan bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan lain.

“Saya cuba untuk jaga kesihatan dan kekal positif kerana yang penting ialah dapat melihat seluruh keluarga dan rakan-rakan kami hadir meraikan majlis bersejarah kami nanti,” katanya.

Pasangan ini bakal diijab kabul pada 6 April, Sabtu depan pada sebelah pagi di kediaman keluarga Baizura di Hulu Langat.

Manakala majlis resepsi mereka di Forest Valley Hall, Bandar Mahkota Cheras pada sebelah malam.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida