Aman Ra Kembali Bergelar Suami Kepada Kakak Chef Selebriti

Penyanyi rap, Aman Ra kembali bergelar suami dengan wanita pilihannya selepas lebih setahun menduda.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, Aman Ra atau nama sebenar Aman Jamaluddin selamat melangsungkan pernikahannya, semalam.

“Assalamualaikum, dengan rendah hati saya ingin berkongsi selesai sudah majlis akad nikah kami.

“Doakan yang terbaik dan terima kasih atas segala sokongan,” tulisnya.

Difahamkan, wanita yang menjadi suri hati pelantun lagu Bangun ini dikenali sebagai Amira Hani iaitu kakak kepada chef selebriti popular, Anis Nabilah.

Meninjau diruangan komen, rakan-rakan artis seperti Zizan Razak, Amir Masdi, Zynakal dan pengikutnya turut mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagian mereka suami isteri.

Terdahulu, Aman Ra pernah mendirikan rumah tangga dengan Natiqah Rahmat namun sah bercerai pada 5 Ogos lalu dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ratu Raiqa, 4 dan Tuah Khalifa yang kini berusia tiga tahun.

Maya Basir