Ambil Semua Job? Shiha Zikir Tak Peduli Tanggapan Orang

Penyanyi, pelakon dan penyampai radio, Shiha Zikir, tidak peduli segala tanggapan orang terhadap dirinya, termasuk yang mendakwa dia bersikap tamak dalam menerima apa saja tawaran yang datang.

Menurut Shiha ketika ditemui pada sidang media secara maya drama Ada Apa Dengan Saka, dia menafikan selesa mengaut semua untuk kepentingan diri dan akan memilih tawaran yang sesuai serta mampu dilakukannya.

“Setiap tawaran kerja yang datang itu, rezeki dan saya memang suka mencuba. Tapi, saya pilih juga mana yang sesuai dan mampu dilakukan serta tidaklah bolot semua.

“Saya tak akan terima jika rasa kurang selesa atau tidak yakin untuk memberikan yang terbaik. Saya sangat menghargai hasil kerja dibuat kerana ia dibayar dan amanah yang diberikan orang kepada saya,” katanya.

Menurut Shiha, dia memilih untuk menghiraukan kata-kata orang lain bukan kerana meninggi diri, tetapi kalau asyik fikirkan saja pasti tidak akan ke mana.

“Kalau nak fikir apa kata orang terhadap saya, memang tak boleh nak ke manalah. Jadi, saya lebih senang biarkan saja dan buat apa yang saya suka. Pembabitan saya dalam kerjaya seni pun kerana minat dan bukan mudah sampai ke tahap sekarang.

“Dalam bidang lakonan ini pun, saya ada pengalaman yang tak ‘best’ juga. Saya pernah kena ‘sound’ dengan seorang pelakon senior yang ketika itu memang memalukan saya. Ikut hati nak menjawab juga, tapi saya sabar.

“Biarlah dia, kerana setiap orang ada pandangan masing-masing. Cuma, kalaulah saya masih bersikap panas baran macam dulu, memang boleh bergaduh. Namun, saya biarkan saja dia dan akhirnya kami jadi kawan baik,” katanya.

Selain itu, Shiha sempat kongsikan pengalaman pertama kali digandingkan bersama Syazwan Zulkifly menerusi drama tersebut.

Menurut Shiha, dia tidak menyangka pelakon itu seorang yang kelakar dan boleh ‘satu kepala’ dengannya kerana sebelum ini dia bimbang akan dimarahi Syazwan.

“Watak saya dalam drama Ada Apa Dengan Saka ini seorang yang serius. Tapi, pemahaman awal saya pada skrip sudah tersasar kerana ingatkan ia karekter komedi. Jadi, saya buatlah komedi dan kena ulang banyak kali.

“Melihat Syazwan yang macam serius, saya takut juga kena ‘sound’ lagi sebab dia pun dah lama berlakon. Tapi, Syazwan sangat okey dan dia tak ada masalah langsung apabila tengok saya kena buat babak sama berulang-ulang,” katanya.

Drama Ada Apa Dengan Saka akan disiarkan di TV9 menerusi slot Diandra bermula 19 Mei ini, pada jam 8:30 malam.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain