Ammar Dan Achey Bawa Pulang RM10K?

Pentas minggu pertama Bintang Bersama Bintang 2019 (BBB2019) yang bermula Ahad lalu (3 Mac), menjadi milik Achey. Gandingan “serasi yang tidak selekeh” bersama Ammar  melayakkan Achey membawa wang tunai RM10,000!. Persembahan sketsa dengan tema bebas dan pilihan lagu Amalina dan Temberang juga mendapat pujian juri tetap, Saiful Apek dan Mark Adam.

Turut memberi saingan hebat bagi minggu pertama BBB 2019 adalah Shuk yang bergandingan bersama pemenang Persembahan Terbaik AJL 33 iaitu Sufian Suhaimi. Shuk bijak menarik perhatian penonton dengan memanfaatkan persembahan viral Sufian ketika di AJL 33 untuk memperkuatkan lagi sketsa beliau selain turut mengetengahkan isu-isu lain yang turut viral di media sosial kebelakangan ini.

Selain Achey dan Shuk, pentas BBB 2019 turut menampilkan tiga lagi pelawak popular iaitu Chiwan yang bergandingan dengan Man Taman, Sharif Zero bersama Jiggy Masin dan juga Mamak Puteh bersama Bell Ngasri.

BBB 2019 yang bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral dan dihoskan oleh Elly Mazlein ini akan meriuhkan malam Ahad anda selama 8 minggu, jam 9.00 malam hingga 11.00 malam. BBB 2019 juga dibawakan oleh penaja bersama KFC dan juga OPPO.

Salma Syahbuddin