Anak Perempuan Sudah Mula Tanya Soalan Tentang Bapa, Lufya Omar Selalu Ubah Topik – “Saya Tak Mahu Cakap Perkara Tak Baik…”

Pelakon Lufya Omar memberitahu anak perempuannya, Laana Haura sudah bertanyakan soalan yang sukar untuk dijawab mengenai bapanya iaitu Dr Che Muhammad Hafiz.

Memetik laporan mStar, Lufya atau nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar, 38, memilih untuk tidak menceritakan situasi sebenar memandangkan anaknya baru berusia enam tahun dan masih tidak memahami pelbagai perkara.

“Sebenarnya kalau anak bertanya saya selalu elak sebab dia belum cukup dewasa untuk memahami.

“Saya juga tidak mahu fikirannya terbeban tetapi jujurnya dia sudah mula tanya soalan yang susah saya nak jawab,” katanya.

Menurut Lufya, sekiranya Laana bertanya soalan yang pelik biasanya dia akan mengalihkan perhatian anaknya dengan perkara lain.

Malah, dia selalu membuatkan anaknya sibuk dengan aktiviti harian termasuk meluangkan masa dengan ibu saudara dan adik-beradiknya.

“Selalunya saya akan alihkan perhatian dia dengan meluangkan masa bersama ibu saudara dan adik-beradik yang semuanya perempuan.

“Hubungan saya dan anak rapat, biasanya saya akan ubah topik sebab saya pun tidak mahu bercakap perkara tidak baik,” ujarnya.

Untuk rekod, Lufya mendirikan rumah tangga dengan Dr Che Hafiz pada 26 November 2016 namun pasangan itu bercerai pada 17 Jun 2020.

Selepas tiga tahun menduda, Dr Che Hafiz menikah dengan pelakon Julia Farhana pada 14 Disember tahun lalu.

Maya Basir