Anak Perempuan Trauma, Fadzil Zahari Keliru Dengan Kenyataan Diana Danielle – “Sekiranya Anak-Anak Takut Dengan Bapa Tentu Mereka…”

Adik kepada pelakon Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari keliru dengan kenyataan kakak iparnya, Diana Danielle yang mengatakan anak perempuannya, Aurora mengalami trauma.

Tidak memberitahu sebab anaknya trauma membuatkan Fadzil meninggalkan komen di sebuah portal hiburan yang memaparkan temubual Diana yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari untuk proses Jawatankuasa Pendamai (JKP), pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, suami kepada pelakon Yana Samsudin memberitahu mesej yang cuba disampaikan oleh Diana seperti tergantung kerana setahunya hubungan Farid dan anak-anak dalam keadaan yang baik.

“Saya tinggalkan komen kerana kenyataannya tidak jelas dan tergantung. Bukan sebab ia mencalarkan nama abang saya, tidak.

“Saya melihat video itu, tak bagi jumpa anak sebab trauma. Itu yang saya tanya, anak trauma sebab apa?

“Ini kerana sebelum ini saya lihat anak-anaknya okay sahaja keluar bersama Farid tanpa ibunya di sisi.

“Sekiranya anak-anak takut dengan bapa atau tidak rapat, tentu mereka tidak selesa untuk keluar bersama Farid,” katanya.

Sebelum ini, dia mengakui terkejut dengan kemelut rumah tangga yang berlaku antara abangnya dan Diana yang hanya diketahui menerusi berita yang dibaca.

Terdahulu, Diana memfailkan permohonan cerai kerana berlaku shiqaq namun, Farid enggan melafazkan cerai.

Disebabkan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua pasang cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8.

Maya Basir