Apresiasi Bunkface Buat Peminat, Bakal Adakan Konsert Setelah 15 Tahun Ceburi Industri Muzik!

Kumpulan punk rock Bunkface, bakal mengadakan konsert istimewa penuh apresiasi buat peminat setelah 15 tahun menceburi industri muzik tanah air.

Konsert yang diberi nama ‘Bunkface! 15 Years Of Korang’ anjuran Hitman Solutions itu bakal diadakan di Zepp KL pada 30 dan 31 Julai ini.

Biarpun telah ditubuhkan sejak 2005, kumpulan yang dianggotai oleh Sam, Youk, Pa’an dan Biak masih meraih sambutan yang hangat setiap kali melancarkan karya pop alternatif dalam genre rock punk sehingga kini.

“Alhamdulillah, perjalanan kami selama 15 tahun dalam memartabatkan muzik punk rock tetap diterima dan kami akan terus berjuang sehingga akhirnya,” kata Sam yang merupakan vokalis dan pemain gitar utama.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rohit, sebagai penganjur turut berbesar hati dapat bekerjasama dengan band hebat ini untuk membantu merealisasikan impian konsert ini.

“kami akan memastikan kepuasan peminat-peminat Bunkface yang hadir berada ditahap yang optimum dan berkualiti tinggi,” katanya.

Selain itu, konsert tersebut bakal berlangsung selama dua jam dan dijangka kumpulan itu akan mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu dari album pertama sehingga single terbaharu mereka.

Sementara itu, Bunkface juga bakal menyanyikan lagu terbaharu mereka yang berjudul ‘I Miss You’ yang dicipta khas buat peminat sebagai tanda menghargai sokongan mereka sejak kumpulan itu ditubuhkan.

“Lagu ini menceritakan tentang perjalanan seni kami sejak ditubuhkan dengan terperinci tentang apa yang sebenarnya terjadi dan bagaimana. Lagu ini juga sebagai kerinduan terhadap peminat-peminat kami yang setia dari hari pertama sehingga ke hari ini,” kata Pa’an.

Konsert ini juga akan ditaja oleh OctaFX sebagai penaja utama dan disokong oleh MyCreative Ventures, Penjana dan Waka, Hot FM dan Fly FM.

Fatin Nurain