Arja Lee Bakal Pengarah Anu Dalam Botol 2?

Meskipun sedang sibuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Seni, pelakon Arja Lee memaklumkan dia bakal mengarah sambungan filem kontroversi, Anu Dalam Botol 2.

Arja ketika ditemui Xtra mengaku tidak takut dikecam netizen memandangkan filem ini bakal mengangkat kisah LGBT namun dalam masa sama diselitkan mesej keagamaan.

“Walaupun pengajian berbaki lagi dua semester, saya sudah memasang pelan untuk kembali ke set dan sudah memaklumkan kepada pengarah, Raja Azmi. Dia tahu dan tiada masalah tentang rancangan ini.

“Skrip sudah hampir siap dan Insha Allah penggambaran mungkin akan bermula akhir tahun 2020 atau paling lewat awal tahun 2021.

“Ia adalah sambungan filem Anu Dalam Botol. Kali ini penceritaan akan lebih fokus kepada watak Ruby yang lari semasa hari perkahwinan,” katanya.

Filem Anu Dalam Botol yang ditayang pada 2009 sebelum ini diarahkan oleh Raja Azmi menjadi bualan hangat selepas mengangkat kehidupan seorang lelaki yang mengubah identiti menerusi pembedahan jantina.

Kerana terlalu mencintai Ghaus, Rubidin sanggup berkorban mengubah identiti kepada Ruby. Namun begitu, selepas berpisah dengan Ghaus, Ruby jatuh cinta dengan seorang wanita baik budi.

Sementara itu, Arja yang bakal membawa watak utama dalam filem itu nanti berharap penonton dapat memahami jalan cerita dan mengambilnya sebagai iktibar.

“Saya buat filem ini bukan untuk mencipta kontroversi tetapi ia adalah realiti yang berlaku di zaman kini. Kita sebagai hamba Allah tidak perlu mengecam golongan ini namun percaya bahawa pintu taubat Allah SWT sentiasa terbuka.

“Islam mendidik umatnya tanpa kekerasan. Di dalam filem ini nanti, segalanya saya akan garap dengan kemas dan cuba menyelami jiwa penonton,” katanya yang kini menguruskan projek Arja Art Academy.

Oleh: Fas

SGMS Faida