Pelakon Fasha Sandha menafikan dia menolak untuk bergambar dengan salah seorang peminat dalam satu kejadian, baru-baru ini.

Akui Fasha dalam Instagramnya, dia hanya meminta peminat itu menunggu sebentar memandangkan dia perlu menguruskan anak-anak rakannya.

“Saya meminta peminat itu tunggu sebentar kerana saya sedang menguruskan anak-anak rakan saya, tetapi apabila saya mencarinya semula, dia sudah tidak ada. Saya turut bertanyakan kepada pembantu saya di mana peminat itu menghilang.

“Saya tidak menolak untuk bergambar, sebaliknya saya menyuruh dia tunggu sebentar hingga urusan saya selesai,” katanya.

Tambah Fasha, dia kecewa dengan dakwaan yang ditular di media sosial dan memoohon agar peminat lebih prihatin dengan situasi seseorang artis sebelum meminta untuk bergambar. 

“Peminat harus peka sekiranya seorang artis itu sedang mengawasi anak-anak kecil. Leka kerana melayani peminat boleh menyebabkan anak hilang atau lebih buruk lagi diculik.

“Begitu juga jika artis sedang berurusan di bank atau mesin ATM. Meminta untuk bergambar ketika itu boleh menyebabkan berlaku kecurian atau keciciran kerana leka melayan peminat.

“Begitu juga jika artis terbabit sedang makan bersama keluarga atau rakannya. Ia adalah perbuatan yang tidak manis dan kurang baik,” tulisnya.

Fasha berkata, sebagai peminat yang sayangkan artis kegemaran mereka, sudah tentu faham akan keadaan atau situasi dinyatakan dan mereka harus belajar serta jadikannya pengajaran.

“Peminat setia saya faham dengan perkara ini. Mereka tahu saya sangat pentingkan kebajikan dan keselamatan anak-anak. Tidak kiralah anak sendiri, anak saudara, anak rakan ataupun anak peminat saya. Menjaga keselamatan dan kebajikan anak-anak bagi saya tiada kompromi,” katanya.

Fasha memaklumkan gambar yang disebarkan oleh salah seorang netizen itu dambil secara curi berserta tulisan memburuk-burukkan Fasha oleh peminat terbabit.

“Mengambil gambar curi, menyebarkannya serta menyatakan perkara tidak benar dan memfitnah adalah perkara sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

SGMS Faida