‘Arwah Pandai Ambil Hati’- Isteri Allahyarham A Rahman Hassan Kongsi Kenangan Lima Tahun Bersama

“ Tidak mungkin saya boleh tinggal di rumah ini lagi kerana terlalu banyak kenangan indah bersama arwah,” demikian kata isteri Allahyarham Datuk A Rahman Hassan, Datin Fadilah Mansor yang masih bersedih dengan pemergian suami tercinta.

Pelakon wanita ini yang berkahwin pada 25 Disember 2014 mengaku Allahyarham merupakan suami terbaik.

“ Arwah sangat penyayang dan pandai mengambil hati orang. Saya masih bersedih atas kehilangannya.

“ Arwah sangat menyayangi saya. Setiap masa dia berusaha ambil hati saya. Apa sahaja yang saya atau anak saudara masak untuknya, dia akan puji dan ucap terima kasih,” katanya.

Tambahnya, arwah amat menitik berat tentang hubuhal keluarga sepanjang hayatnya.

“Saya juga banyak belajar daripada abang terutama bagaimana untuk menyatukan keluarga. Memang terbaik dan saya amat kagum dengan kebolehannya,” katanya.

Sementara itu, dia tidak berharap apa-apa selepas pemergian suami tercinta dan berhasrat berpindah keluar dari kediaman sekarang.

Fadilah juga menzahirkan rasa syukur kerana dapat menunaikan impian suaminya beraya di kampung halaman di Johor, minggu lalu.

A Rahman meninggal dunia pada usia 73 tahun di Hospital Ampang, Kuala Lumpur akibat strok dan pendarahan otak.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas Zohor, tengahari semalam. -Harian Metro.

SGMS Faida