Ayda Jebat Nak Timang Cahaya Mata Kedua Secepat Mungkin – “Kalau Boleh Nak Sekarang”

Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat mengakui pernah terfikir untuk menimang cahaya mata kedua secepat mungkin disaat usia puteri sulungnya, Ana Nayla akan genap setahun pada 21 September ini.

Menurut Ayda, dia ingin membesarkan anak-anaknya secara serentak agar dapat kembali bekerja dalam masa beberapa tahun kemudian dengan mudah.

“Saya ready anytime…kalau boleh nak sekarang. Bukan apa, saya dah lama tak shoot. Dengan Ana Nayla pun hampir dua tahun berehat kerana mahu lihat dia membesar dahulu.

“jadi kalau nak tunggu anak kedua selepas kembali bekerja akan memberi sedikit kesukaran, sementelah saya pula tak suka bekerja ketika hamil,” katanya.

Namun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan kerana penyanyi itu pernah menjalani proses pembedahan ketika melahirkan anak pertamanya.

“Begitupun, saya tidak boleh hamil buat masa sekarang. Sebab kelahiran Ana Nayla melalui proses pembedahan jadi memang kena tunggu dahulu sebelum boleh hamil sekali lagi,” katanya.

Memetik laporan Gempak, Ayda juga sempat mengulas tentang kereta sorong dan kerusi bayi untuk kegunaan dalam kereta.

Ayda menyatakan pendedahan tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada pengikutnya tentang kepentingan keselamatan kanak-kanak.

“Saya memang akan dudukkan anak di kerusi bayi untuk kereta demi keselamatannya. Kalau nampak saya kongsi di Instagram Story berkenaan dengan alatan-alatan bayi ini, bukanlah sebab promosi atau apa, cuma nak beri kesedaran kepada pengikut betapa pentingnya keselamatan anak kecil.

“Kalau saya nampak kawan-kawan yang pegang anak dalam kereta, pasti saya akan tegur. Bukan nak jadi penyibuk tapi bimbangkan keselamatan anak mereka,” jelasnya.

Sumber: Gempak

Fatin Nurain