Azharina Kesal Dakwaan Sudah Meninggal, Masih Dalam Proses Sembuh Penyakit Berbahaya – “Kasihankanlah Saya…”

Penyanyi Azharina tampil bersuara apabila terdapat dakwaan yang mengatakan dia telah meninggal dunia.

Menurut laporan Harian Metro, Azharina berkata dakwaan individu tidak bertanggungjawab itu dibuat di laman YouTube dengan mengatakan ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini telah kembali ke rahmatullah.

“Saya cuma tak dapat tidur dari semalam, bukan meninggal.

“Individu itu memuat naik kandungan di YouTube dan menyebut nama saya sebagai ‘Allahyarham Azharina Azhar’, kononnya saya sudah meninggal dunia,” katanya.

Tambah pelantun lagu Elegi Sepi ini lagi, dia kesal dengan fitnah tersebut serta mempersoalkan apakah tujuan individu tersebut.

“Saya tak tahu nak marah atau ketawa. Kenapa dia nak mencari populariti dengan menggunakan benda-benda begini?

“Kenapa dia mendoakan agar orang mati? Kasihankanlah saya. Saya nak cari rezeki untuk membesarkan dua anak saya,” katanya.

Soal masalah tidur yang dialaminya, Azharina menjelaskan kondisi kesihatannya yang dalam proses penyembuhan.

“Saya dalam proses penyembuhan. Minggu lalu, hampir seminggu juga saya muntah-muntah. Minggu ini, keadaan saya semakin baik.

“Ada ubat baru yang saya ambil dan badan saya sedang beradaptasi dengan ubat itu. Jadi, salah satu kesan sampingannya, mungkin memberi kesan kepada tidur saya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Azharina hilang lebih 5 kilogram berat badan akibat masalah kesihatan yang masih dirahsiakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cepat Penat, Mahu Sentiasa Baring, Azharina Dihantui Penyakit Misteri

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi