Azira Shafinaz ‘Rujuk’ Semula

Penyanyi dan pelakon Azira Shafinaz mengaku sudah kembali ke pangkuan kekasih, baru-baru ini.

Katanya pelakon drama Pia kepada BH Online, dia dan kekasih melalui proses muhasabah diri sepanjang setengah tahun namun mengambil keputusan untuk menyambung semula percintaan.

“ Saya dapat lihat kesungguhan si dia memulihkan keadaan untuk memenangi hati saya semula.

“ Saya percaya dengan kesungguhan dia dan perpisahan ini sebenarnya menguatkan lagi cinta kami, apatah lagi masing-masing berasakan semakin matang dalam menangani segala kemelut,” katanya selepas kempen Sempurna Seadanya Astro.

Tahun lalu, Azira dan ahli perniagaan, Yasser Khan, mengambil keputusan untuk berpisah selepas enam tahun bercinta.

Begitupun, mereka menafikan orang ketiga menjadi punca perpisahan, sebaliknya lebih kepada tiada lagi persefahaman dalam perhubungan.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan ke arah perkahwinan, akuinya, mereka pernah membincangkan perkara berkenaan, namun bukan dalam masa terdekat.

“ Saya pernah mensasarkan ingin mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun, tetapi kerjaya seni saya sekarang sedang berkembang.

“ Kesibukan dengan pelbagai projek membuatkan saya perlu memikirkan semula rancangan berkenaan. Mungkin dua tahun lagi saya bergelar isteri,” tambah anggota kumpulan De Fam itu.

SGMS Faida