Bakal Akhiri Zaman Bujang, Rizman Umum Bertunang Hari Ini

Pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin mengumumkan sudah bertunang dengan gadis pilihannya, Nurida Suraya, hari ini.

Rizman yang merupakan pereka fesyen yang sering menjadi pilihan penyanyi terkenal tanah air mengambil keputusan bertunang selepas setahun lebih mengenali hati budi.

“Alhamdulillah, sudah sampai masanya untuk saya menamatkan zaman bujang. Perasaan gembira sukar digambarkan kerana segalanya berubah apabila kita bertemu dengan orang yang tepat dalam hidup kita,” katanya kepada salah sebuah portal hiburan tempatan.

Dalam masa sama, sahabat baik kepada aktres Nur Fazura ini memohon agar urusan ke fasa seterusnya dipermudahkan Allah.

Difahamkan, majlis pernikahan akan berlangsung dalam masa terdekat.

Berita pertunangan Rizman dan Nurida Suraya turut dikongsi di Instagram pasangan sama cantik sama padan ini.

Rata-rata pengikut Rizman mengucapkan tahniah dan berdoa agar urusan perkahwinan pereka fesyen kesayangan ramai ini segera lancar.

SGMS Faida