Bapa Puteri Balqis Sah Ditahan Reman Atas 3 Pertuduhan!

Bapa kandung kepada pelakon remaja, Puteri Balqis dilaporkan telah ditahan pihak polis sejak semalam selepas anaknya membuat laporan polis yang melibatkan salah laku serangan seksual, memiliki bahan lucah dan pengabaian.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan bahawa lelaki yang berumur 43 tahun tersebut telah ditahan di Kedah pada 2.25 petang semalam.

Bukan itu sahaja, pihak polis turut merampas telefon bimbit bapa kandungnya itu dan diserahkan kepada Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan menganalisa.

Namun begitu, saringan air kencing dibuat ke atas lelaki itu menunjukkan keputusan negatif.

“Saringan ujian air kencing ke atas suspek adalah negatif serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Ujarnya lagi, lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi permohonan reman sebelum reman dibenarkan sehingga 12 September ini.

Tambah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memanggil pelakon remaja tersebut jika ada laporan dibuat.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari