“Baru Buka Surah Al-Waqiah, Bantuan Allah Terus Sampai” – Kongsi Kisah Hijrah, Saharul Ridzwan Bersyukur Diberi Nikmat Paling Best

Walaupun seakan menyepi dari dunia lakonan, pelakon Saharul Ridzwan sebelum ini pernah memaklumkan dirinya tidak pernah menolak jika diberikan rezeki untuk berlakon semula.

Namun, perkara itu bergantung kepada jalan cerita yang akan diberikan.

Menurutnya, tidak timbul soal untuk berhenti apatah lagi meninggalkan dunia seni biarpun penglibatannya dalam dunia lakonan setakat ini berkurangan memandangkan beliau kini lebih aktif dan memberi fokus kepada dunia perniagaan.

“Sekarang ni alhamdulillah…tahun 2022 ni saya banyak fokus on business lah. Memang sekarang ni saya tengah belajar amalkan sunnah.

“Dan tahun ni, Allah beri saya satu peluang… saya ada kedai makan, Human Gang Malaysia Steak House. Dan lagi satu, saya usahakan bersama isteri saya iaitu produk skincare yang berasaskan sunnah. Kita gunakan Habbatus Sauda. Ini yang pertama dekat Malaysia. Tak pernah orang buat lagi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perbezaan kehidupan dahulu dan sekarang, pelakon drama Jangan Benci Cintaku ini mengakui kehidupannya sekarang lebih tenang walaupun tidak semewah dahulu.

“Yelah.. dulu kita kerja sebab nak dapat duit. So, kita dah dapat dah duit. Income kita berpulu-puluh ribu sebulan. Endorsement yang saya dapat beratus ribu dalam masa 6 bulan, setahun. Saya dah dapat dah semua tu tapi masih rasa tak cukup.

“Tapi sekarang saya dapat benda yang lebih berharga dari duit berpuluh ribu. Saya dapat solat jemaah di masjid. Saya pun tengah belajar untuk full kan lima waktu kat masjid.Tapi sekarang ni, saya cuma nak konsisten Subuh, Maghrib dan Isya.

“Ini adalah nikmat yang paling best! Boleh amal agama dalam rumah tangga. Boleh kenalkan isteri kita, anak kita siapa Nabi Muhammad SAW dan penciptanya. Jadi, itu antara nikmat yang paling besar yang saya dapat sekarang ni,” jelasnya.

Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 33, juga sempat berkongsi pengalaman yang paling diingati sepanjang tempoh penghijrahannya.

Antaranya adalah dia perlu sentiasa yakin dengan Allah dalam apa jua perkara yang hendak dilakukan serta kelebihan surah Al-Waqiah yang memberi kesan besar dalam kehidupannya.

“Yang paling diingati adalah, bantuan Allah tu sampai bila mana kita betul-betul percaya dan yakin dengan Allah SWT. Salah satu contohnya, saya pernah tak ada duit, PKP semua ni, job semua memang tak ada. 

“Jadi wife tanya, macam mana kita sekarang ni? Lepastu, saya cakap… tak apa kita yakin malam ni kita baca surah Al-Waqiah, yakin Allah akan bantu kita. Awak kena yakin, saya kena yakin.

“Buka Al-Waqiah belum baca lagi, lepastu saya check dekat bank tengok payment yang sebelum ni dah masuk. Jadi perkara-perkara macam tu bila mana sekarang ni ujian memang ada tapi kena ingat, Allah bagi dugaan sebab Allah suruh kita ingat Dia,” katanya dalam sebuah program televisyen berbayar.

Untuk rekod, Saharul sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.

Salma Syahbuddin