“Bella Sudah Cukup Istimewa Dimata Allah, Jadi Kenapa Kita Nak Buat Macam Tu…” – Siti Nurhaliza Akui ‘Terganggu’, Harap Kes #JusticeForBella Diadili Sebaik-baiknya

Sebagai seorang ibu, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui sedikit terganggu dengan kes penderaan yang menimpa adik Bella.

Menurut Siti, sebagai seorang manusia yang mempunyai sifat perikemanusiaan, perkara ini memang sangat mengganggu bukan sahaja dirinya tetapi para ibu dan seluruh masyarakat Malaysia yang menonton dan menyaksikan sendiri penderaan terhadap Bella.

Justeru itu, beliau merasakan apa yang terjadi kepada Bella menyebabkan sifat kemanusiaan seseorang itu tercabar apatah lagi Bella merupakan anak istimewa dan diperlakukan sebegitu.

“Sebagai manusia ada hati dan perasaan jadi benda ni memang sangat-sangat mengganggu. Bukan sahaja saya, tetapi seluruh orang yang menonton.

“Sifat kemanusian tercabar bila adanya terjadi macam ni dan adik Bella ni anak kurang upaya dan diperlakukan begitu. Saya tak boleh tengok lama, kesian… kita sebagai ibu yang ada anak ni kan, apa yang berlaku kepada Bella tu, kita boleh terasa. Kalau kita bukan ibu pun, kita tengok kita boleh ada sifat kemanusiaan,” katanya kepada XTRA.

Sementara itu, Siti juga berharap agar kes ini dapat diadili sebaik-baiknya kelak.

“Kita harap adik Bella dapat diadili sebaik-baiknya, seadil-adilnya sebab adik Bella ni dia insan istimewa di mata Allah jadi kenapa kita sebagai hamba Allah nak buat macam tu,” jelasnya.

Pelantun lagu Lip Lap Raya ini ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pelantikannya sebagai duta jenama Binary University baru-baru ini.

Salma Syahbuddin