Belum Genap Sebulan Cerai Dengan Ellie Suriaty, Azri Iskandar Umum Bakal Nikah Penulis Skrip

Belum genap sebulan mahligai cinta pasangan selebriti Azri Iskandar dan Ellie Suriaty musnah, aktor itu mendedahkan dirinya bakal mendirikan rumah tangga bersama seorang penulis skrip dalam masa terdekat.

Memetik laporan MalaysiaKini, Azri yang baru sahaja bercerai pada 17 Mei lalu berkata, dia dan keluarga bercadang untuk menghantar rombongan merisik dan meminang bakal isteri bernama Azra Diera sebelum 23 Jun ini.

“Jika tiada aral melintang, kami akan bernikah dulu. Majlis perkahwinan akan diadakan kemudian dalam waktu terdekat,” katanya.

Menurutnya, Azra yang memiliki kelulusan doktor falsafah (PhD) dalam jurusan muzik itu belum pernah berkahwin sebelum ini.

Untuk rekod, hasil perkahwinan Azri dan Ellie selama 19 tahun dikurniakan dua anak iaitu Azrell Omar, 18 dan Nur Azreen, 13.

Tambah aktor Pontianak Harum Sundal Malam itu, dia terpaksa menangguhkan majlis persandingan buat sementara waktu kerana sibuk dengan urusan kerja yang padat ketika ini.

“Sekarang saya masih lagi menjalani penggambaran drama Kau Tak Punyai Hati arahan Azmi Hatta terbitan TV3 sampai 2 Ogos depan,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

Aqilah Paharuzi