“Benda Ini Banyak Kali Berlaku…” – Akui Sudah Penat, Bekas Isteri Radhi OAG Minta RM300,000 Settle Kes Pukul Luar Mahkamah

Bekas isteri kepada penyanyi Radhi OAG iaitu Nur Shahira Ayu Zahiri meminta bayaran RM300,000 bagi menyelesaikan kes luar mahkamah berhubung dakwaan dipukul penyanyi itu.

Memetik laporan Berita Harian, dia memberi pilihan kepada Radhi sama ada melunaskan bayaran tersebut secara penuh atau RM1,000 sebulan untuk tidak membebankannya.

“Saya faham situasi Radhi, permintaan (RM300,000) untuk anak-anak dan Radhi sudah setuju dengan perkara itu. Selepas ini, kami akan buat ‘hitam putih’ (dokumen rasmi) untuk tandatangani (persetujuan).

“Sebenarnya Radhi nak beri RM5,000 dan RM500 sebulan, saya rasa tidak cukup untuk dua anak. Saya juga perlu bayar pinjaman kereta dan rumah, selain keperluan baju, makanan, vitamin, tuisyen dan sekolah anak.

“Zaman sekarang bukan macam 1960-an, 1970-an. Kalau diikutkan saya mahu lebih daripada jumlah itu tetapi bila bincang saya minta RM300,000,” katanya.

Terdahulu, Nur Shahira memaklumkan hasrat menarik balik kes selepas berbincang dengan Radhi, selain mahu menjimatkan masanya dan mahkamah.

Majistret, Muhammad Iskandar Zainol, kemudian menetapkan 24 Julai bagi sebutan semula kes untuk perkembangan laporan polis yang perlu ditarik balik oleh mangsa susulan persetujuan menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Loh Xian Yee manakala Radhi diwakili peguam, Haziq Aizuddin Subhi.

Mengulas tentang tawaran rumah oleh Radhi, Nur Shahira mengesahkan bekas suami mahu dia dan anak-anak untuk tinggal di rumah tersebut.

“Untuk apa (tawaran rumah)? Nak suruh dia (Radhi) datang ke? Saya pun ada beli rumah dan kereta sendiri. Saya ada semua itu, minta maaf nak cakap kalau boleh tidak mahu ada apa-apa (dengan Radhi), untuk anak-anak saja.

“Saya serius sudah penat, benda ini banyak kali berlaku (insiden dipukul) dan kali ini saya buka kes (lapor polis).

“Radhi pun tidak mahu mengaku (salah) dan saya penat turun naik mahkamah, lebih baik saya akhiri kes ini,” katanya.

Radhi atau nama sebenar, Muhammad Radhi Razali dibicarakan dalam kes mendatangkan kecederaan kepada Nur Shahira mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Maya Basir