Berfikiran positif, pengacara, Irma Hasmie memusatkan tumpuan kepada tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, daripada membebankan minda dengan perkara negatif.

Matang dengan pengalaman silam, Irma berkata, dia sentiasa mengingatkan diri untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin, agar tidak dipersalahkan jika timbul krisis atau masalah.

“Tidak dinafikan pengalaman lalu banyak mengajar saya berhadapan bermacam-macam perkara. Kita tidak boleh kawal orang lain, sebaliknya fokus kepada keamanan dan ketenangan minda.

“Untuk kekal positif, bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan satu malam kerana ia mengambil masa.

“Faktor sekeliling turut membantu memastikan fikiran tidak melayang kepada perkara negatif. Hal rumah tangga adalah sesuatu yang sukar dijangka.

“Namun, jika dikawal seketat mana pun, apabila hendak jadi, ia akan terjadi juga,” katanya kepada BH Online.

Sehubungan itu, Irma yang berkahwin dengan Redza Syah Azmeer Radzuan pada 2012, memilih memberi tumpuan terhadap tanggungjawab kepada keluarga.

“Selebihnya, serahkan saja kepada suratan takdir.

“Apa yang penting, saya sudah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan tidak dipersalahkan jika berlaku apa-apa,” katanya.

Berkongsi cerita membesarkan dua anak iaitu Redza Syah Irfhan, 6, dan Irma Nur Naylie, 5, Irma berkata, buat masa ini, fokusnya adalah mengasuh dan mendidik mereka sebaik mungkin.

Tidak meletakkan sasaran menambah zuriat, Irma mengaku selesa dengan dua anak.

“Saya kurang pasti sama ada mahu hamil lagi atau sebaliknya. Buat masa ini, saya selesa dengan rutin menjaga dua cahaya mata.

“Memang pada mulanya kelam kabut kerana jarak usia mereka tidak jauh, namun bertambah mudah apabila mereka semakin besar,” katanya.

Irma mengaku bukan senang membesarkan anak-anak pada era digital.

“Apatah lagi saya sangat menitik beratkan isu pendidikan. Sebagai ibu, saya cuba seimbangkan soal dunia dan akhirat sebaik mungkin,” katanya.

Kredit: Berita Harian Online.

SGMS Enal