Bersara Dari Dunia Hiburan & Berhijrah Ke Luar Negara, Sarah Hildebrand Kini Sertai Tentera US?

Bekas pelakon, Sarah Hildebrand mendedahkan berita tergempar yang seolah-olah memberikan gambaran dia kini sudah menyertai pasukan unit beruniform, Tentera Udara Amerika Syarikat.

Berita tersebut dikongsikan menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya, Sarah atau nama sebenarnya Nur Sarah Marie Hilderbrand, 32, memuat naik video dirinya mengangkat sumpah.

Sementara itu, aktres Pujaan Hati Kanda itu turut memuat naik gambar sedang bersalaman bersama seorang pegawai tentera serta menunjukkan skor markah yang diperolehnya dalam ujian ketenteraan.

“Semuanya tidak mustahil. Sangat bersyukur untuk segalanya,” tulis Sarah di ruangan kapsyen.

Tinjauan di ruangan komen hantaran Sarah tersebut telah mencuri perhatian pengikutnya yang memberi pelbagai respons mengenai perkembangan terkininya itu.

Menurut mereka, perkongsian Sarah itu seakan menjawab persoalan mengenai bentuk badannya yang tampak semakin ‘sasa’ serta mempunyai ‘biceps’.

Namun begitu, ramai dalam kalangan mereka mengucapkan ucapan tahniah atas kejayaan yang menurut mereka amat membanggakan itu.

Tidak ketinggalan rakan artis seperti Dayah Bakar, Nadia Brian dan penyanyi Amir Hassan turut mengucapkan kata tahniah kepadanya.

Terdahulu, pelakon kacukan Melayu-Inggeris ini mengumumkan pengunduran dan bersara daripada industri seni hiburan temputan serta memilih untuk berhijrah selamanya ke negara kelahiran bapanya.

Aqilah Paharuzi