Bimbang Akan Psikologi Anak, Suami Pengasas Dnars Bertegas Mahu Saman Individu Cetus Fitnah

Suami kepada pengasas kosmetik Dnars, Datuk Ahmad Shah Rizal Ibrahim menegaskan dia akan kenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya.

Hal ini kerana dia bimbang akan psikologi anaknya apabila kematian isterinya Allahyarham Faziani Rohban dibangkitkan semula dan menjadi pertikaian ketika ditemui di sidang media pada Rabu.

“Anak saya tidak memberikan sebarang reaksi, namun saya bimbang sekiranya ada yang bertanyakan hal ini kepadanya dan ia secara tidak langsung menimbulkan kesan psikologi.

“Anak saya berusia sembilan tahun dan masih bersekolah. Jadi tentu sahaja saya risau tentang keadaannya,” katanya kepada majoriti.

Memetik laporan majoriti, tindakan undang-undang dibuat melalui peguam Nik Zarith Nik Moustpha menerusi tetuan Manz Co Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co.

Berhubung isu baru-baru ini, Shah Rizal memaklumkan bahawa dia masih belum dipanggil oleh pihak polis untuk tampil memberi kenyataan.

“Saya maklum dengan laporan polis, tetapi sehingga ke hari ini saya tidak menerima sebarang panggilan untuk membantu siasatan,”ujarnya.

Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga Allahyarham bagi membuka semula siasatan mengenai kematian Allahyarham Faziani Rohban kerana meragui kematiannya mempunyai unsur lain.

Untuk makluman, laporan polis yang kedua telah dibuat oleh abang Allahyarham Faziani berkaitan pertukaran pemilikan saham syarikat usahawan wanita itu pada 26 Jun lalu.

Sumber:majoriti

Atiqah Johari