Lisa Surihani Tak Cenderung Anak Terlibat Dalam Bidang Lakonan – “Teringin Untuk Melihat Anak Berjaya Sebagai…”

Pelakon Datin Lisa Surihani, memberitahu dia tidak cenderung untuk mendedahkan anak-anaknya kepada industri lakonan kerana usia mereka masih terlalu awal.

Menurut Lisa, dia teringin untuk melihat kedua-dua anaknya, Yahaira Leanne dan Yusof Leone menceburi bidang luar dari industri seni hiburan.

“Saya tidak boleh memberi kata putus berkenaan hal itu lagi, terlalu jauh lagi dan mereka masih muda.

“Saya masih memikirkan zaman kanak-kanak mereka, persekolahan, pendidikan dan juga agama di dalam diri mereka.

“Saya teringin untuk melihat anak saya berjaya sebagai seorang doktor, peguam dan sebagainya,” katanya.

Namun, isteri kepada Datuk Yusry Abdul Halim itu turut berkongsi rasa teruja apabila kedua-dua anaknya terlibat dalam penggambaran video keselamatan dalam pesawat syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Enfiniti (M) Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Lisa turut menjelaskan dia perlu berfikir terlebih dahulu tentang keselesaan anak-anaknya sebelum menerima pelawaan Puan Seri Tiara Jacquelina.

“Sebenarnya Puan Seri Tiara pada mulanya memanggil suami saya bekerjasama untuk mengarahkan muzik video tersebut, kemudian beliau mempelawa saya untuk turut serta sekali.

“Tanpa memikir panjang saya menerima pelawaan itu dan beliau meminta untuk bawa bersama dua anak saya (Yahaira Leanne dan Yusof Leone) turut serta dalam video tersebut.

“Saya mengambil masa untuk membuat keputusan, sudah pasti saya perlu memikirkan terlebih dahulu tentang keselesaan anak-anak, dikhuatiri mereka tidak selesa dan sebagainya. Dan akhirnya saya memutuskan untuk bawa bersama mereka,” katanya.

Perkongsian tersebut telah dilakukan oleh Lisa menerusi sebuah program temubual dari stesen televisyen berbayar, semalam.

Selain itu, pelakon itu turut menyatakan kedua-dua anaknya gembira ketika berlakon selepas diberi pemahaman yang mendalam berkenaan muzik video tersebut.

“Ini juga merupakan kemunculan kami satu keluarga di dalam muzik video.

“Bila mereka dan berlakon tu, pada mulanya mereka tidak faham berkenaan apa muzik video ini, jadi saya perlu menjelaskan kepada mereka sehingga mereka memahaminya dan saya melihat reaksi mereka sangat seronok,” katanya.

Sumber: Gempak

Fatin Nurain