Buka Syarikat Sendiri, Zamani Kini Di Bawah Pengurusan ZIME Production

Penyanyi Zamani mengumumkan segalan hal berkaitan kerjayanya kini diuruskan syarikat pengurusannya sendiri iaitu ZIME Production.

Pengumuman ini dibuat bagi mengelakkan salah faham apabila terdapat beberapa laman Instagram menggunakan namanya menjual barangan premium, konon dikeluarkan syarikatnya.

“Kerjaya, jadual dan pengurusan saya buat masa ini diuruskan ZIME Production sepenuhnya. Operasi syarikat ini dikendalikan bersama-sama ahli keluarga, selain mengekalkan Aalan Ahmad sebagai pengurus.

“Sebarang urusan termasuk tawaran persembahan dan perkara berkaitan boleh dibuat dengan berhubung terus ZIME Production atau Aalan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Zamani, dia tidak melantik mana-mana pihak lain untuk mencetak atau menjual produk yang menggunakan namanya.

Terdahulu, Zamani pernah berdepan isu kekeliruan mengenai pengurusnya yang sebenar.

Isu timbul apabila pengurus yang sudah bersamanya sejak era Slam, Johan Aziz dan pengurus baharu, Aalan mengeluarkan kenyataan berbeza mengenai status penyertaannya dalam program itu.

Sementara itu, Zamani berkata, pihak pengurusannya juga kini dalam proses menubuhkan kelab peminat rasmi, Zamani Fan Club yang akan diumumkan menerusi Facebook: zamani slam official fanpage dan Instagram: @zamanislam_official.

SGMS Faida