‘Bukan Tamak, Tapi…’- Issey Fazlisham Mula Tukar Angin?

Dari pelawak ke penyampai radio, Issey Fazlisham kini dikenali sebagai penyanyi. Baru sahaja tampil dengan single Alololo, Issey memaklumkan dia bukan ‘tamak’ untuk meneroka semua cabang dalam bidang hiburan.  

Akui Issey, bagi memastikan namanya kekal relevan dalam industri dia perlu berusaha keras dengan menghasilkan karya yang pelbagai.

“ Lima tahun saya berkecimpung dalam bidang, saya mahu pastikan diri ini dapat menghasilkan sesuatu yang membuatkan orang sedar kewujudan saya.

“ Dari lakonan, penyampai radio seterusnya ke nyanyian, saya mahu fokus dalam apa saja projek yang dilakukan. Selagi nama masih diperlukan saya gunakan peluang yang ada,” katanya kepada XTRA.

Selain itu, bakat penulisan lagu bekas penyampai radio Hot FM ini turut mencuri perhatian ramai apabila single Alololo kerap diputarkan di radio.

“ Saya mendapat idea untuk menghasilkan Alololo ketika dalam perjalanan ke Pulau Lombok. Ketika itu saya nampak ada pasangan kekasih sedang berselisih faham yang mana lelaki itu sedang cuba memujuk teman wanitanya.

“ Dari situ timbul idea untuk hasilkan lirik lagu berkonsep komedi namun ada mesej tersendiri. Selalunya saya buat pick up line di sosial media tapi kali ini saya terjemahkan dalam lagu pula,” akhirinya.

SGMS Faida