“Bukan Untuk Suka-Suka, Tetapi…” – Alicia Amin Jelas Isu Protes Di KLFW 2022

Pelakon dan model, Alicia Amin yang tampil sendirian membawa sepanduk di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW 2022)  pada minggu lalu bagi memperjuangkan hak rakan dalam bidang peragaan berkenaan isu bayaran tertangguh bukanlah mahu menagih publisiti murahan.

Biarpun dilabel sebagai ‘antagonis’ dek kerana sikap lantangnya itu, Alicia Amin berkata dia melakukannya dengan ikhlas demi menuntut hak yang selama ini dinafikan.

“Saya sudah berfikir panjang sebelum buat keputusan melakukan protes kepada penganjur. Penganjur lewat bayar adalah isu lapuk yang masih belum berjaya diselesaikan hingga hari ini.

“Bayangkan, ada model yang masih belum menerima bayaran seperti dijanjikan lebih sedekad lalu. Saya mahu mempertahankan hak bukan sahaja untuk diri sendiri, malah, untuk rakan model yang menerima nasib sama.

“Protes ini dibuat bukan untuk suka-suka, tetapi sebagai salah satu cara untuk kami menuntut hak. Walaupun nampak ekstrim, tetapi ini memang cara saya.

“Kita sudah buat kerja dan sebagai penganjur, mereka kenalah jelaskan bayaran tepat pada masanya,” katanya

Disoal mengenai risiko yang diambil mengenai tindakan beraninya itu mampu menjejaskan kerjaya peragaannya, Alicia berkata, tiada apa yang perlu digusarkan kerana apa yang dilakukannya tidak menyalahi undang-undang dan berlandaskan fakta.

“Nak kata saya bimbang bakal disenarai hitam beraksi di pentas KLFW, saya berurusan secara terus dengan pereka dan bukannya diupah penganjur.

“Lagipun, ada ramai penggiat industri, model dan selebriti menyatakan sokongan walaupun sekadar di sebalik tabir selepas saya menyuarakan isu ini.

“Cuma, tak dinafikan ada momen pelik berlaku ketika saya sedang berjalan di atas pentas. Secara tiba-tiba ada pengumuman mengatakan persembahan sudah berakhir dan penonton mula beredar.

“Bagaimanapun, ada yang memaklumkan apa yang berlaku disebabkan kesilapan tidak disengajakan. Saya tak boleh nak kata sabotaj atau sebaliknya.

“Saya memang agak pelik kerana ia tidak pernah terjadi,” jelasnya.

Atas usaha dan pengorbanan dilakukannya, difahamkan pengasas acara itu, Andrew Tan akhirnya menunaikan janji melunaskan bayaran yang tertangguh selama ini.

“Saya dapat tahu, ada model yang sudah mendapat bayaran dalam masa sehari seperti dijanjikan. Ini satu perkembangan yang baik.

“Meskipun bukan tugas saya, tetapi saya tetap akan memantau perkara ini untuk memastikan Tan akan melunaskan bayaran kepada model beraksi di pentas KLFW 2022 dan bayaran tertunggak sebelumnya.

“Saya harap ia satu permulaan yang baik buat penganjur dan akan diteruskan sampai bila-bila. Saya yakin jika perkara ini diamalkan, pentas KLFW akan menjadi lebih hebat,” kata Alicia.

Terdahulu, dalam insiden yang berlaku di perkarangan pusat membeli-belah pada tempat acara pertunjukan fesyen itu, pemilik nama lengkap Raja Alicia Raja Amin, 27, dilihat berdiri sambil memegang sepanduk yang menggesa penganjur membayar model yang diupah dalam masa sehari selepas tugasan selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sila Datang Berjumpa Saya” – Alicia Amin Buat Protes di KLFW Tuntut Keadilan

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi